Umat Islam Perlu Lebih Peka & Cakna Tentang Status Halal Restoran, Kata Pakar
Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff yang merupakan Timbalan Dekan Industri, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan dengan adanya sijil halal ke atas makanan atau produk, sumber serta proses pembuatannya lebih diyakini.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai status halal lima buah restoran yang terkenal di Malaysia.
Ia berikutan tular di media sosial surat maklum balas daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertarikh 2 September mengenai status halal restoran berkenaan selepas mendapat pertanyaan orang ramai melalui Borang Laman Web Bahagian Pengurusan Halal JAKIM.
Malah, JAKIM dalam satu kenyataan menjelaskan pertanyaan tersebut telah diajukan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
Menerusi surat yang tular itu, terdapat lima restoran popular telah tersenarai tidak mempunyai sijil halal yang sah daripada JAKIM.
Baca Artikel Berkaitan: “5 Premis Makanan Terkenal Tiada Sijil Halal” – JAKIM
Baca Artikel Berkaitan: Tiada Sijil Halal JAKIM, 4 Premis Makanan Terkenal Keluar Kenyataan
Tindakan Individu Tanya Status Sijil Halal Buka Mata Pengusaha Makanan
Ekoran daripada ini, umat Islam disaran agar perlu lebih peka dan cakna mengenai status sijil halal premis makanan sama ada sah atau sebaliknya.
Menurut Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari, Pusat Kajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff, tindakan pengadu yang mengajukan soalan menerusi sistem yang dibangunkan oleh JAKIM mengenai status halal premis terkenal telah membuka mata orang ramai khususnya pengusaha kedai makan, restoran dan hotel.
“Apa yang dilakukan oleh rakyat Malaysia pada hari ini cukup bagus.
“Saya melihat secara positif bahawa dengan caknanya umat Islam terhadap sijil halal dalam produk makanan, restoran dan sebagainya termasuk hotel akan menyebabkan pemilik premis memohon sijil halal sama ada menyukarkan mereka ataupun tidak mereka akan memohonnya.
“Ini kerana mereka tahu bahawa rakyat Malaysia, khususnya orang Islam mahukan restoran, makanan dan produk yang dijual mempunyai sijil halal yang sah.
“Jadi, saya menyambut baik apa yang dilakukan oleh jabatan agama Islam negeri, menteri agama Islam negeri dan Jakim khususnya terhadap penyediaan sijil halal Malaysia ini dapat kita sambut.
“Kita sepatutnya lebih bersungguh-sungguh untuk membantu Jakim dan juga institusi agama dalam memperkasakan persediaan halal Malaysia yang diiktiraf dan dihormati oleh dunia,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Sijil Halal Beri Keyakinan Tentang Status & Proses Sumber
Dr Mohd Izhar yang juga merupakan Timbalan Dekan Industri, Fakulti Pengajian Islam UKM, menjelaskan dengan adanya sijil halal ke atas makanan atau produk, sumber serta proses pembuatannya lebih diyakini.
“Memang tak dinafikan bahawa jika restoran itu dikendalikan oleh orang Islam, pekerja orang Islam, tapi tidak mempunyai sijil halal, dalam perkara ini kita tahu bahawa yang mengurus itu orang Islam.
“Namun, kita tidak tahu bahan-bahan asas kepada produk itu atau makanan itu. Adakah ia diambil dari tempat penyembelihan yang ada sijil halal? Adakah bahan-bahan masakan diambil dari sumber halal?
“Sebab ada orang mahukan produk atau bahan asas yang murah. Jadi dia ambil dengan harga murah, namun mereka tak tahu bahan murah itu dari sumber halal atau haram. Jadi, jika ada sijil halal, ia pastinya daripada sumber halal.
“Kerana tidak akan dapat sijil halal selagi tak membuktikan semua produk yang masuk dalam restoran dan digunakan dalam masakan adalah daripada syarikat, pengeluar yang mempunyai sijil halal yang sah dari dalam atau luar negara,” jelasnya.
Tiada Sijil Halal Tak Bermakna Makanan Itu Haram Dimakan
Tambah beliau lagi, premis yang tidak mempunyai sijil halal atau ketiadaan sijil halal tidak bermaksud makanan itu haram untuk dimakan.
“Dari sudut prosesnya, ia boleh dimakan jika dimasak oleh orang Islam, diyakini bahawa produk, makanan dan restoran itu dimasak dan dibeli oleh orang Islam.
“Cuma, dari sudut pengesahan ataupun dari sudut keyakinan yang bertulis dan beraudit tidak ada pada restoran berkenaan.
“Oleh yang demikian, kita kena faham bahawa premis yang tidak mempunyai sijil halal, tidak bermakna restoran itu haram. Tetapi kita sebagai pengguna, kita mahu yang lebih yakin, yang teraudit, terpelihara, disemak dan dikawal selia oleh pihak berautoriti iaitu Jakim dan jabatan agama Islam negeri-negeri.
“Jadi, dengan cara ini kita akan yakin bahawa makanan yang kita ambil adalah suci, bersih dan halal dan telah diiktiraf oleh pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan: