83% Pekerja Selesa Kerja Secara Hibrid, Rasa Lebih Produktif Berbanding Di Pejabat – Zoom
84% pengurus dalam syarikat menyatakan bahawa peningkatan tahap produktiviti dalam kalangan pekerja menjadi keutamaan mereka apabila menentukan gaya kerja terbaik.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada tahun 2020, kerja dari rumah atau work-from-home (WFH) sudah mula menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat.
Dalam pasca pandemik ini, sesetengah pekerja masih diberi pilihan untuk WFH atau hibrid iaitu hanya ke pejabat beberapa kali dalam seminggu.
Malah, sesetengah syarikat di Malaysia turut mengaplikasikan kerja secara hibrid dan ia mendapat sambutan yang cukup positif dalam kalangan pekerja.
Pekerja Seluruh Dunia Gemar Dengan Pilihan Bekerja Secara Hibrid
Menerusi satu kajian yang dilakukan oleh Zoom bersama Reworked INSIGHTS pada April hingga Mei lalu melibatkan hampir 2,500 orang responden, mereka mendedahkan bahawa bekerja secara hibrid merupakan pilihan bekerja di seluruh dunia.
Hasil kajian mendapati 83% pekerja lebih produktif dan mampu menyiapkan tugasan lebih cepat dalam suasana hibrid berbanding melakukan kerja di pejabat.
Malah, 82% daripada mereka juga berpendapat bahawa mereka berasa lebih ‘dekat’ dengan rakan sekerja dan pengurus apabila bekerja secara hibrid.
“Untuk membina hubungan yang baik dengan rakan sekerja itu tidak perlu dilakukan dengan sentiasa berinteraksi secara bersemuka,” dedah Zoom dalam hasil kajian didapati dari responden.
Sementara itu, 84% pengurus dalam syarikat menyatakan bahawa peningkatan tahap produktiviti dalam kalangan pekerja menjadi keutamaan mereka apabila menentukan gaya kerja terbaik.
Walau bagaimanapun, 75% daripada golongan pengurus syarikat mengatakan mereka berkemungkinan akan menukar gaya kerja dalam organisasi pada tempoh dua tahun akan datang.
Dalam kajian sama, negara di Eropah dilihat lebih banyak mengamalkan gaya kerja secara hibrid iaitu sebanyak 75% berbanding 58% di negara-negara sekitar Asia Pasifik.
Pekerja Di Malaysia Pun Selesa Dengan Menyiapkan Tugasan Secara Hibrid
Dalam satu tinjauan Workmonitor 2024 oleh agensi pengambilan pekerja, Randstad mendapati 86% pekerja di Malaysia memilih untuk hadir ke pejabat tiga hari seminggu.
Menurut Pengarah Negara Randstad Malaysia, Fahad Naeem, tinjauan yang membabitkan 517 pekerja di negara ini mendedahkan 39% daripada responden memilih untuk berhenti kerja jika diminta bekerja lebih lama di pejabat.
Malah, 33% responden menyatakan bahawa WFH merupakan sesuatu yang tidak boleh dirunding.
Fahar berkata keadaan ini menyebabkan individu yang mencari kerja lebih memilih pekerjaan, malah sanggup menolak tawaran dengan gaji lebih tinggi jika perlu hadir ke pejabat setiap hari.
“Trend ini amat kuat dalam kalangan generasi muda, dengan hampir separuh daripada Gen Z (49%) dan Milenium (47%) menentang pengaturan kerja yang tidak fleksibel,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: 86% Pekerja Di Malaysia Selesa Masuk Ofis 3 Kali Seminggu, Ada Sanggup Berhenti Jika Kerap Disuruh Ke Pejabat
Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Duduki Tangga Kedua Di Asia Tenggara Sebagai Negara Paling Ramai Pekerja Tidak Gembira
Baca Artikel Berkaitan: 67% Pekerja Di Malaysia Rasa ‘Burnout’ Di Pejabat, Alami Stres Lebih Dari Sekali Sebulan