10-13% Penjawat Awam Diisytihar Bankrap Dari 2021-2024
Menurut M Bakri, ketua jabatan perlu menjalankan tanggungjawab dengan memantau tahap keberhutangan kakitangan di bawah seliaan dan peka dengan perubahan kelakuan mereka.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seseorang yang diklafikasikan sebagai bankrap merupakan individu dengan hutang tertunggak melebihi RM100,000 yang gagal dilangsaikan. Status itu juga diisytiharkan menerusi perintah mahkamah.
Oleh itu, mereka yang mempunyai status berkenaan terikat dengan beberapa ketetapan yang ketat seperti tidak dibenarkan ke luar negara dan sebagainya. Malah mereka yang diisytiharkan bankrap atau muflis ini terdiri daripada pelbagai golongan seperti peniaga, penjawat awam dan lain-lain.
10-13% penjawat awam diisytiharkan bankrap
Terbaharu, Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) memaklumkan sekitar 10-13% dari kes kebankrapan baharu yang dilaporkan antara 2021 sehingga 2024 membabitkan penjawat awam.
Ujar Ketua Pengarahnya, Datuk M Bakri Abd Majid apa yang lebih merisaukan data terbabit menunjukkan peningkatan dari beberapa tahun meskipun data kebankrapan nasional mempunyai penurunan.
Gagal urus kewangan dengan baik beri kesan kepada individu dan keluarga
Menerusi data terbuka MdI, katanya statistik kebankrapan individu dari golongan penjawat awam adalah 12% (2020), 10% (2021), 11% (2022), 13% (2023) dan 14% setakat 2024 ini.
“Kegagalan pegawai awam menguruskan kewangan dengan baik bukan saja memberi kesan kepada individu dan keluarga, malah kepada ekosistem perkhidmatan awam.
“Bagi penjawat awam yang diisytiharkan bankrap tindakan tatatertib boleh diambil akibat keterhutangan yang serius selain mencemarkan imej perkhidmatan awam.
“Ia sekali gus menjejaskan peluang kenaikan gaji dan pangkat selain kelayakan pembayaran bonus dan bantuan kewangan turut terjejas,” ujarnya, dipetik Bernama.
Menurut beliau lagi, dalam segelintir kes ada penjawat awam yang memohon kebankrapan untuk diri sendiri kerana ingin meringankan bebanan hutang berpanjangan.
Ketua jabatan perlu cakna dan pantau tahap hutang petugas bawah seliaan
Namun bagi pihak jabatan, M Bakri berpendapat ketua jabatan perlu memantau tahap keberhutangan kakitangan di bawah seliaan mereka serta peka dengan perubahan kelakuan petugas.
Ini kerana, pencegahan awal perlu dilakukan untuk memperbanyakkan aktiviti berkaitan pengurusan kewangan peribadi serta jabatan yang boleh bekerjasama dengan pakar atau penasihat kewangan yang bertauliah untuk membincangkan mengenai pengurusan duit.
Gagal memantau boleh menyebabkan salah guna kuasa dan rasuah dalam jabatan
Jelasnya kegagalan ketua jabatan dalam menjalankan tanggungjawab boleh membawa kepada masalah rasuah serta salah guna kuasa dalam sesebuah jabatan.
Mengulas mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dengan pelarasan gaji yang lebih baik, meskipun ia melegakan keresahan pekerja dalam sektor awam namun ada pihak yang bersedia ‘menangguk di air yang keruh’ dengan menawarkan pinjaman yang ‘tidak sihat’ kepada penjawat yang lalai.
Katanya ‘kitaran jahat’ itu hendaklah dihentikan dari terus merencatkan aliran tunai petugas awam serta peranan semua termasuklah ketua jabatan sangat diperlukan dalam menangani masalah itu.
“Selaras dengan pengumuman gaji baharu, pekerja sektor awam dilihat telah menjanjikan perubahan cara kerja atau tahap produktiviti lebih baik, namun ia bukan sekadar dua perkara itu saja malah pemikiran juga perlu diubah.”