GISBH Nafi Terlibat Ajaran Sesat, Akan Beri Kerjasama Kepada Polis & Jakim
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan pihaknya sedang menyiasat GISBH berhubung dakwaan mengeksploitasi kanak-kanak.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kebelakangan ini, tular di media sosial video-video yang mendakwa sebuah organisasi dan syarikat yang dikenali sebagai Ikhwan Global Sdn. Bhd. atau GISB Holding Sdn. Bhd (GISBH) terlibat dalam ajaran sesat.
Tidak hanya itu, GISBH juga didakwa terlibat dalam jenayah mengeksploitasi kanak-kanak sekali gus meraih perhatian ramai orang termasuk pihak polis dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Sehubungan itu, Cawangan Khas (SB) Bukit Aman dilaporkan sedang memantau GISBH selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar turut mengarahkan Jakim mengadakan pertemuan dengan syarikat itu bagi meminta penjelasan.
GISBH akan beri kerjasama penuh kepada polis dan Jakim
Terbaharu, GISBH menjelaskan bahawa mereka akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan Jakim berhubung tuduhan-tuduhan itu.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya semalam (8 September), GISBH berkata, mereka akan bekerjasama rapat dengan Jakim, polis dan pihak berkuasa agama negeri-negeri bagi memastikan segala isu dapat diselesaikan secara telus serta adil.
“Kami amat mengalu-alukan panduan dan nasihat daripada pihak berkuasa agama dalam usaha kami memperkukuhkan ekonomi halal dan memastikan kami sentiasa berada di landasan yang benar,” katanya.
GISBH nafi terlibat atau sokong mana-mana ajaran sesat
Menurut organisasi itu, mereka juga menafikan terlibat atau menyokong mana-mana ajaran yang difatwakan sesat di negara ini sejak penubuhannya lagi.
Jelasnya, sebarang tuduhan atau fitnah yang cuba mengaitkan GISBH dengan penyelewengan akidah adalah tidak berasas, tidak benar dan hanya bertujuan merosakkan reputasinya.
Menurutnya lagi, sejak syarikat itu ditubuhkan pada 23 Oktober 2012 lagi GISBH telah mematuhi ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“GISBH ingin menegaskan bahawa sebagai syarikat yang beroperasi di 20 negara, kami sentiasa mengutamakan pematuhan terhadap semua undang-undang dan peraturan selaras dengan prinsip Islam yang kami junjung.
“Kami memahami tanggungjawab besar yang kami galas dalam memastikan setiap operasi dijalankan mengikut piawaian ditetapkan dan kami komited untuk menjunjung tinggi akidah serta amalan Islam yang benar,” katanya lagi.
Timbalan Ketua Polis Negara sahkan pihaknya sedang siasat GISBH
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan pihaknya sedang menyiasat GISBH.
Kata Ayob Khan, tindakan itu dilakukan susulan terdapat empat laporan polis yang telah dibuat terhadap organisasi itu di Selangor.
“Ia berhubung dakwaan eksploitasi kanak-kanak. Kita sedang menyiasat perkara itu di bawah Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001″ katanya.
Jelasnya, dakwaan terhadap pertuduhan itu termasuklah mereka menggunakan kanak-kanak untuk mengutip derma dan menggaji kakitangan tanpa faedah yang sewajarnya, lapor Malaysia Gazette.
Jangan samakan GISBH dengan Al-Arqam – CEO GISBH
Sekitar 2022, CEO GISBH, Datuk Lokman Hakim pernah meminta orang ramai tidak menyamakan GISBH dengan Al-Arqam.
Menerusi temubual bersama Utusan, Lokman berkata, persepsi orang ramai sememangnya tidak dapat dielak, namun mereka boleh menilainya menerusi nama syarikat yang kini digelar GISBH.