Sisa Lampin Bayi Dipercayai Punca 16 Pengunjung Taman Rekreasi Di Pahang Dijangkiti Rotavirus
Menurut Pengarah Kesihatan Pahang, kesemua individu yang dijangkiti rotavirus terdiri daripada kanak-kanak berumur dua hingga 11 tahun dan seorang wanita dewasa berumur 27 tahun.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, beberapa individu termasuk kanak-kanak dilaporkan mengalami gejala sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam selepas mengunjungi Taman Rekreasi Che Minah Sayang di Maran, Kuantan.
Kesemua mereka disahkan dijangkiti rotavirus di mana sisa buangan lampin pakai buang bayi dipercayai menjadi punca penularan wabak terbabit di kawasan berkenaan.
16 kes direkodkan terdiri dari kanak-kanak 2 hingga 11 tahun dan seorang dewasa
Pengarah Kesihatan Pahang, Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, setakat ini seramai 16 kes rotavirus direkodkan yang terdiri daripada kanak-kanak berumur dua hingga 11 tahun dan seorang wanita dewasa berumur 27 tahun.
“Pada 5 September lalu, Pejabat Kesihatan Daerah Maran menerima satu notifikasi wabak ‘Acute Gastroenteritis’ (AGE) dalam kalangan kanak-kanak dengan gejala sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam setelah mengunjungi Taman Rekreasi Che Minah Sayang.
“Semua kanak-kanak terlibat adalah stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Jengka, manakala wanita yang merupakan ibu kepada salah seorang kanak-kanak tersebut dirawat sebagai pesakit luar,” katanya dipetik Kosmo.
Ujian makmal sahkan rotavirus, bukan kencing tikus atau leptospirosis
Menurutnya, ujian makmal mendapati penyebab wabak itu adalah jangkitan rotavirus dan bukannya disebabkan oleh kencing tikus atau leptospirosis.
Ujarnya, siasatan awal juga mendapati ia berkemungkinan berpunca daripada air sungai yang tercemar dengan sisa buangan lampin pakai buang bayi.
Susulan itu, beliau berkata pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) telah menasihatkan pihak pengurusan Taman Rekreasi Che Minah Sayang untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan memastikan semua premis makanan berada dalam keadaan bersih serta selamat.
“Orang awam juga disaran cakna dengan tidak membawa anak-anak yang kurang sihat atau warga emas untuk berekreasi di taman rekreasi tersebut.
“JKNP ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi etika kebersihan dengan melupuskan lampin pakai buang bayi dengan cara yang selamat serta tidak membuang sampah-sarap merata-rata ketika mengunjungi mana-mana taman rekreasi,” ujarnya.
Apa itu rotavirus?
Memetik portal Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, rotavirus mendapat namanya dari perkataan Latin rota yang bermaksud roda dan virus ini dinamakan sedemikian disebabkan bentuknya seperti roda.
Virus ini boleh mengakibatkan demam yang tinggi, cirit-birit dan juga kejang atau sakit perut yang berterusan.
Selepas dijangkiti, jangkitan ini biasanya mengambil jangka masa dua hari sebelum timbul gejala dan ia sering dijangkiti oleh golongan kanak-kanak.