fbpx
Now Reading
Buat Konten ‘Crush’ Dengan Pelajar, Abang Bas Mengaku Tak Bersalah

Buat Konten ‘Crush’ Dengan Pelajar, Abang Bas Mengaku Tak Bersalah

Mahkamah membenarkan tertuduh yang juga dikenali sebagai ‘Abang Bas’ diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan dua syarat.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, hangat di media sosial apabila ramai yang mempersoalkan tindakan seorang pemandu bas yang dikenali sebagai Abang Bas memuat naik konten mengenai pelajar sekolah rendah yang dibawanya.

Video-video yang dimuat naik oleh pemandu bas itu di TiKTok secara tidak langsung telah mengundang rasa kurang senang di kalangan masyarakat khususnya ibu bapa yang berpendapat perbuatannya mencurigakan dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan.

Susulan itu, pihak polis telah bertindak menahan pemandu bas berusia 24 tahun berkenaan pada 6 September lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 15(2) Akta Kanak 2001.

Baca artikel berkaitan: Tular Buat Konten Crush Dengan Pelajar, ‘Abang Bas’ Sudah Ditahan Polis

Pemandu bas mengaku tak bersalah atas 2 pertuduhan

Hari ini (10 September) pemandu bas tersebut telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar atas dua pertuduhan.

Pemandu bas terbabit bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Didakwa melakukan amang seksual kepada anak saudara berusia 4 tahun

Berdasarkan pertuduhan pertama, pemandu bas berkenaan telah didakwa melakukan amang seksual dengan mengucup pipi kanak-kanak perempuan berumur empat tahun yang juga anak saudaranya.

Tindakan itu telah dilakukan oleh tertuduh di dalam bas sekolah di Simpang Renggam, Kluang sekitar jam 5 hingga 6 petang pada April sehingga September tahun ini (2024).

Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017.

Tuduhan kedua, memerhati kanak-kanak perempuan usia 9 tahun berulang kali

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, pemandu bas berkenaan didakwa memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual dengan insiden ini juga berlaku pada waktu serta lokasi yang sama.

Maka dia didakwa di bawah Seksyen 15 (a) (iii) AKKSTKK 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15 akta sama.

Tertuduh dilihat menangis ketika berada di kandang

Ketika prosiding berlangsung, tertuduh yang juga masih bujang dilihat tunduk dan mengalirkan air mata semasa berada di kandang tertuduh.

Pendakwaan tersebut dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif manakala tertuduh diwakili peguam, Umar Zulkarnain.

Sebelum ini, pihak pendakwaan meminta mahkamah untuk mengenakan ikat jamin sebanyak RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan atas alasan kes terbabit mendapat perhatian seluruh negara sehingga memberikan pelbagai gambaran dan gesaan agar tindakan diambil terhadap pemandu bas berkenaan.

“Selain itu juga, kes ini kesalahan serta salah seorang mangsa adalah anak saudaranya dan mereka tinggal berdekatan.

“Justeru pihak pendakwaan memohon mahkamah mempertimbangkan perkara ini serta mengenakan syarat kepada tertuduh,” jelasnya, dipetik Harian Metro.

Ikat jamin RM30,000 dengan syarat

Sebaik mendengar hujahan dan rayuan dari kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan pemandu bas tersebut diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Dalam pada itu, mahkamah juga telah menetapkan dua syarat terhadap tertuduh iaitu perlu melaporkan diri di balai berdekatan sebulan sekali dan tidak mengganggu mahupun berkomunikasi dengan mangsa atau saksi pendakwaan sepanjang prosiding.

Kes akan disebut semula pada 10 Oktober bagi serahan dokumen.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.