fbpx
Now Reading
Lebih 120,000 Murid Tahun Satu Dikesan Belum Kuasai Kemahiran Membaca, Menulis & Mengira, Perlu Intervensi

Lebih 120,000 Murid Tahun Satu Dikesan Belum Kuasai Kemahiran Membaca, Menulis & Mengira, Perlu Intervensi

Setiap murid akan diberi tempoh tiga bulan bagi menguasai kemahiran 3M (menulis, membaca dan mengira) sebelum penilaian dibuat melalui Program Intervensi Kurikulum.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) merupakan kemahiran asas yang wajib dikuasai oleh setiap pelajar khususnya bagi murid tahun satu, dua dan tiga.

Kegagalan menguasai ketiga-tiga kemahiran itu boleh menyebabkan seseorang murid tercicir dan ketinggalan dalam pelajaran serta hilang keyakinan diri.

Malah, ia penting sebagai pengukur bagi setiap individu untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

Lebih 120,000 Murid Akan Sertai Program Intervensi, Bantu Kuasai Kemahiran 3M

Semalam (9 September), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendedahkan seramai 122,062 murid Tahun Satu Sesi 2024/2025 akan ditempatkan di Program Intervensi (literasi dan numerasi) yang sudah bermula bulan lalu bagi membantu mereka menguasai Kemahiran 3M.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan, jumlah murid yang terpilih itu mewakili 27.2% daripada keseluruhan 448,113 murid Tahun Satu di seluruh negara.

Ada Yang Tidak Boleh Membaca, Ada Yang Tidak Boleh Mengira, Ada Yang Kedua-Duanya

Jelas Azman, daripada jumlah tersebut, seramai 62,928 murid belum menguasai kemahiran literasi (menulis & membaca) dan numerasi (mengira), 45,465 murid belum boleh menguasai literasi dan 13,669 belum menguasai numerasi.

Kesemua pelajar ini telahpun melalui ujian saringan yang diadakan pada bulan Julai lalu sebelum ditempatkan dalam Program Intervensi berkenaan.

“Ketiga-tiga kelompok murid itu akan diberikan intervensi berdasarkan tahap penguasaan literasi dan numerasi masing-masing.

“Murid-murid ini akan diletakkan mengikut kumpulan kecil dan mereka kemudian akan diberikan kit atau modul bacaan yang sesuai oleh guru-guru,” kata beliau yang dipetik daripada Utusan Malaysia.

Murid Akan Dinilai Selepas Tiga Bulan Sebelum Ditempatkan Di Kelas Biasa

Tambahnya lagi, setiap murid akan diberi tempoh tiga bulan bagi menguasai kemahiran 3M sebelum penilaian dibuat.

Mereka kemudiannya akan ditempatkan di kelas arus perdana selepas menguasai kemahiran literasi dan numerasi.

Walau bagaimanapun, pelajar yang gagal menguasai kemahiran berkenaan akan terus mengikuti program berkenaan sehingga mencapai lebih daripada tahap penguasaan minimum.

Murid Hanya Akan Belajar Menulis, Membaca & Mengira

Tambah Azman, sepanjang tempoh tiga bulan, murid hanya akan diajar dengan kemahiran menulis, membaca dan mengira.

“Program Intervensi Literasi dan Numerasi itu adalah salah satu daripada empat inisiatif di bawah Program Intervensi Kurikulum.

“Antara inisiatif lain termasuk susulan semula kurikulum (penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah); pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mesra ibu bapa dan latihan untuk guru,” katanya.

Pelajar Tetap Akan Naik Ke Tahun Seterusnya Walau Belum Menguasai 3M

Jelas Azman lagi, murid program intervensi berkenaan tetap akan beralih ke Tahun Dua sekiranya mereka masih belum menguasai Kemahiran 3M dan mencapai Tahap Penguasaan 1 pada akhir kalendar akademik 2024/2025.

“Dia (murid dalam kumpulan intervensi) tetap naik (ke Tahun Dua) tetapi kita akan memperkukuhkan kumpulan murid ini melalui intervensi berikutnya.

“Sekiranya kalendar akademik sudah beralih, kumpulan murid ini tetap akan beralih ke Tahun Dua, tetapi mereka perlu melalui proses intervensi untuk memperkukuh keupayaan mereka dalam kurikulum.

“Setakat ini, kita tiada dasar yang menyekat mana-mana murid beralih dari Tahun Satu ke Tahun Dua atau seterusnya,” ujarnya lagi.

Malah, dia menjelaskan KPM komited dalam memastikan intervensi kurikulum ini memberi kesan yang positif kepada murid serta kualiti pendidikan secara keseluruhan.

“Justeru, sokongan masyarakat termasuk ibu bapa dan pihak berkepentingan lain adalah diharapkan bagi memastikan inisiatif ini berjaya,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: 6 Kemahiran Yang Anak Bawah 2 Tahun Perlu Kuasai Sebelum Mereka Mula Bercakap

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.