ZUS Coffee Terima Suntikan Dana RM250 Juta, Lebar Sayap Ke Peringkat Global
ZUS Coffee memperoleh RM250 juta suntikan pelaburan daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), KV Asia Capital dan Kapal Api Group bagi menyokong pengembangan pasaran di peringkat global.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Siapa yang tidak kenal dengan ZUS Coffee? Ia merupakan syarikat rangkaian kopi tempatan yang kini semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.
Antara menu yang sering menjadi pilihan ramai adalah Spanish Latte, Double Chocolate Chic Frappe dan Buttercreme Latte.
Dapat Dana RM250 Juta Daripada KWAP, KV Asia Capital & Kapal Api Group
Terbaharu, ZUS Coffee memperoleh RM250 juta suntikan pelaburan daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), KV Asia Capital dan Kapal Api Group bagi menyokong pengembangan pasaran mereka di peringkat global.
ZUS Coffee menerusi satu kenyataan mengumumkan pihaknya bersedia untuk membuka cawangan di Singapura dan Brunei bermula September hingga hujung tahun ini.
“ZUS Coffee pada masa ini juga sedang dalam perbincangan aktif dengan bakal rakan kongsi dalam pasaran antarabangsa lain dan menjangka dapat memberi perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan merentasi geografi baharu pada 2025,” katanya.
Dapat Sambutan Baik Ketika Pembukaan Di Filipina
Pada tahun 2023, syarikat rangkaian kopi tempatan itu telah membuka cawangan pertama mereka di Filipina.
Pembukaan itu nyata memberi impak positif apabila mendapat sambutan yang baik terhadap jenama dan produk mereka.
ZUS Coffee kini mengendalikan 50 cawangan kedai di negara itu dan mensasarkan untuk menjadi peneraju pasaran bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Sehingga kini, jenama itu mengendalikan kira-kira 600 kedai di seluruh rantau Asia dan sedang agresif memperluaskan portfolio mereka di Malaysia.
Bukan Sekadar Kembangkan Pasaran, Bantu Teroka Bidang Baharu
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ZUS Coffee, Ian Chua, usaha sama itu bukan sahaja mengembangkan perniagaan teras kopi tetapi memudahkan kemasukan ke bidang baharu seperti Barangan Pengguna Bergerak Pantas (FMCG).
“Dengan pendekatan didorong teknologi perkongsian kami, kami komited untuk menjadikan kopi istimewa yang boleh diakses, berpatutan dan menarik.
“Visi kami adalah untuk mewujudkan ZUS Coffee sebagai jenama Malaysia yang diiktiraf di peringkat global, berkongsi komitmen Malaysia terhadap kualiti dan komuniti kepada penggemar kopi di seluruh dunia,” katanya.
Bantu Kukuh Kedudukan ZUS Coffee Di Pasaran Tempatan & Antarabangsa
Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Pelaburan KWAP Hazman Hilmi, bagi pasaran tempatan, tumpuan akan diberikan bagi membantu ZUS Coffee memperkukuhkan kedudukannya dengan memperluaskan rangkaian kedai di seluruh negara dan terus menyumbang kepada masyarakat melalui penciptaan pekerja serta inisiatif tempatan.
“Di peringkat antarabangsa, kami teruja untuk membantu jenama itu mengembangkan jejaknya ke pasaran baharu di seluruh dunia, seterusnya memacu ZUS Coffee, dan Malaysia sebagai pemain penting di pentas dunia,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: ZUS Coffee Umum Pendirian Sokong Pembebasan Palestin Dan Menentang Genosid
Baca Artikel Berkaitan: Rakyat Malaysia Puji Kolaborasi ZUS Coffee Dan MAPIM Hantar Bantuan Di Palestin