fbpx
Now Reading
Memerang Mengganas, Serang Pengunjung Taman Rekreasi Di Tanjung Aru Sehingga Cedera

Memerang Mengganas, Serang Pengunjung Taman Rekreasi Di Tanjung Aru Sehingga Cedera

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Roland Oliver Niun menjelaskan siasatan awal mendapati kumpulan memerang berkenaan memasuki pusat rekreasi terbabit untuk mencari makanan di kolam.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebut sahaja tentang memerang, pasti terbayang kecomelan haiwan mamalia yang kebiasannya ditemui di kawasan sungai atau pantai.

Namun, siapa sangka di sebalik kecomelan itu, tersembunyi sisi gelap haiwan berkenaan yang sebenarnya boleh bertukar ganas dan mendatangkan bahaya kepada manusia.

Tiga Pengunjung Cedera, Diserang Ketika Beriadah Di Taman Rekreasi

Itu yang berlaku kepada pengunjung di Tanjung Aru Perdana Park, Kota Kinabalu, Sabah pagi tadi apabila tiga daripada mereka cedera diserang memerang.

Mangsa yang terdiri daripada seorang wanita dan dua lelaki cedera di bahagian badan serta kaki dipercayai digigit haiwan berkenaan dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi.

Difahamkan, sewaktu insiden berlaku, seorang mangsa wanita, Mariasella Harun sedang berjoging sebelum dia diserang oleh kumpulan haiwan tersebut.

“Saya melihat sesuatu keluar dari longkang dan menyangkakan ia adalah kucing.

“Tetapi ia terus melompat keluar dan menggigit saya. Saya baru perasan yang jumlahnya terlalu banyak. Saya tidak dapat berdiri apabila ia berlaku,” kata suri rumah berusia 40 tahun itu, lapor The Star.

Beberapa orang pengunjung yang melihat kejadian itu segera menghulurkan bantuan namun dua daripada mereka turut cedera diserang oleh memerang berkenaan.

Pengunjung Dengar Jeritan Orang Minta Tolong

Menurut saksi kejadian yang juga pengunjung taman tersebut Nadirah Hashim, dia mendengar jeritan orang meminta tolong ketika sedang berjoging.

“Saya dengan beberapa individu lain yang sedang berjoging kemudian bergegas untuk melihat apa yang berlaku. Ketika itu, seorang wanita digigit memerang dan empat individu lain kemudian membantu menghalau haiwan berkenaan.

“Namun dua daripada mereka turut diserang haiwan berkenaan,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.

Tambah Nadirah, seorang daripada mereka yang membantu kemudian berjaya menghalau haiwan terbabit sebelum menghubungi ambulans untuk bantuan lanjut.

“Seorang daripada mangsa cedera di kepala, lengan kiri dan kanan dan kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut,” jelasnya.

Memerang Datang Cari Makan Di Kolam

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Roland Oliver Niun menjelaskan siasatan awal mendapati kumpulan memerang berkenaan memasuki pusat rekreasi terbabit untuk mencari makanan di kolam.

“Memang terdapat populasi memerang liar berhampiran taman dan kami juga melihat berlaku perubahan tingkah laku haiwan tersebut apabila orang awam memberi makan.

“Walaupun memerang secara umumnya tidak agresif, haiwan ini mungkin menjadi agresif jika diprovokasi atau jika makanan yang dijangka tidak diberikan,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Tambah Roland, JHL telahpun menasihatkan pihak pengurusan taman berkenaan untuk membaiki pagar kawasan tersebut bagi mengelakkan pencerobohan memerang dan melaporkan sebarang kelibat memerang selepas pembaikan pagar dibuat.

“Kami mencadangkan pihak pengurusan memantau teliti keadaan pagar dan memasang papan tanda untuk mengurangkan interaksi pengunjung dan memerang bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Orang awam juga dinasihatkan tidak memberi makan atau memprovokasi mana-mana hidupan liar bagi mengelakkan interaksi dengan manusia dan mencegah perubahan tingkah laku haiwan yang boleh membawa kepada kejadian tidak diingini,” jelasnya lagi.

KEJADIAN wanita cedera diserang sekumpulan haiwan memerang ketika beriadah dilaporkan berlaku di Tanjung Aru, pagi…

Posted by Sabah Info on Tuesday 10 September 2024
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.