Pistol & Dadah Ditemukan Dalam Kereta, Yusoff Rawther Ditahan Polis
Menurut peguam, Muhammed Yusoff Rawther menyatakan bahawa pistol dan dadah yang ditemukan itu diletakkan di dalam keretanya sebagai perangkap.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Polis telah menahan bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther, sejak Jumaat (6 September).
Penahanan dilakukan susulan penemuan dua pucuk pistol dan 305 gram dadah disyaki ganja di dalam kenderaan dinaikinya.
Penahanan itu turut disahkan oleh peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali hari ini (11 September). Namun dia mendakwa anak guamnya diperangkap.
Pistol & Dadah Didakwa Diletakkan Oleh Pihak Tertentu
Dia berkata Muhammed Yusoff telah menyatakan secara jelas kepada pihak berkuasa bahawa pistol dan dadah tersebut bukan miliknya dan tiada kena mengena dengan barangan terlarang tersebut.
Tambahnya lagi, ujian saringan air kencing anak guamnya didapati negatif.
Menurut Muhammad Rafique, Muhammed Yusoff menyatakan bahawa pistol dan dadah yang ditemukan itu diletakkan di dalam keretanya sebagai perangkap oleh pihak yang didakwa mempunyai dendam atau permusuhan dengannya.
“Mereka yang Muhammed Yusoff maksudkan telah pun dibekalkan nama serta kaitan penama-penama tersebut dengan pimpinan politik negara,” jelasnya.
Laporan Polis Akan Dibuat Agar Pembelaan Tidak Dilabel Rekaan
Dalam pada itu, Muhammad Rafique menjelaskan laporan polis perlu dibuat agar pembelaan anak guamnya tidak dilabel rekaan (afterthought) dan dimajukan seawal mungkin.
“Pihak polis juga telah dimohon oleh Muhammed Yusoff serta peguam untuk dibenar membuat laporan polis mengenai perkara ini. Surat berkaitan telah pun diutus,” katanya.
Menurut peguam itu lagi, anak guamnya yang berada dalam tempoh tahanan reman telah menyuarakan kebimbangan lebih-lebih lagi apabila kes-kes sivil terkait individu-individu berpengaruh masih berjalan.
“Kes-kes ini mempunyai sensitivitinya tersendiri. Keluarga Muhammed Yusoff berdiri teguh menyokongnya dan berharap pihak PDRM profesional dalam melaksana tugas mereka.”
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali
Yusoff Failkan Saman Ke Atas Anwar, Dakwa Diserang Secara Seksual
Terdahulu, tarikh perbicaraan penuh berhubung saman Muhammed Yusoff ke atas Anwar atas dakwaan serangan seksual terhadapnya ditetapkan pada 16 Jun 2025 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Muhammed Yusoff pada 14 Julai 2021 telah memfailkan saman mendakwa dirinya diserang Anwar secara seksual pada 2 Oktober 2018 di kediaman pemimpin PKR itu di Segambut.
Dia mendakwa kejadian tersebut menyebabkan dia mengalami trauma fizikal, psikologi dan sosial yang serius. Dia telah menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan serta faedah, kos dan relif lain.
Anwar walau bagaimanapun telah memfailkan tuntutan balas dengan menyatakan dakwaan itu tidak benar dan berunsur rekaan semata-mata.
Dakwa Anwar lagi, serangan seksual yang didakwa tidak mungkin berlaku kerana dia sedang melayani keluarga dan rakan di kediamannya di Bukit Segambut pada tarikh serangan dikatakan berlaku.