fbpx
Now Reading
Lebih Separuh Gen Z Tak Mampu Berdepan Dengan Tekanan Kerja, Alami ‘Burnout’

Lebih Separuh Gen Z Tak Mampu Berdepan Dengan Tekanan Kerja, Alami ‘Burnout’

Berdasarkan Laporan Wellness at Work 2024, generasi Milenial merupakan generasi yang paling terkesan dengan 69% daripada mereka mengalami keletihan, diikuti Gen Z pada kadar 64%.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Jika ditanya pada individu, kebanyakan orang lebih gemar memilih pekerjaan yang diminati serta menjanjikan pendapatan lumayan. Namun kadangkala, pekerjaan itu sendiri memberi tekanan dalam kehidupan seharian.

Antara cabaran yang sering dihadapi di tempat kerja adalah bebanan tugas serta hubungan diantara majikan dan rakan sekerja.

Dek kerana cabaran yang dihadapi inilah yang menyebabkan ada segelintir individu memilih untuk menukar profesion mereka.

Walau bagaimanapun ada sesetengah orang berpendapat, sikap individu itu sendiri yang menjadi punca menyebabkan mereka sukar berhadapan dan menguruskan cabaran di tempat kerja.

Generasi Z Tidak Mampu Hadapi Tekanan Kerja

Antara golongan yang dikatakan tidak tahan dengan tekanan di tempat kerja adalah Generasi Z atau Gen Z.

Memetik Utusan Malaysia, sebanyak 64% daripada tujuh juta pekerja Gen Z tidak mampu menghadapi tekanan bekerja hingga mengalami keletihan melampau (burnout).

Ini menyebabkan mereka menjadi golongan yang sering bertukar tempat kerja.

Keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan banyak sektor pekerjaan kekurangan tenaga kerja yang secara tidak langsung menyebabkan kelembapan industri.

Tiada Daya Saing Antara Faktor Mudah Alami Keletihan

Menurut Pakar Psikologi Prof. Datin Dr. Mariani Md. Nor, sifat tiada daya saing menjadi antara faktor utama yang menyebabkan generasi itu mudah mengalami keletihan melampau hingga sukar untuk mencapai ke tahap lebih baik.

“Gen Z perlu berdaya saing dan mempunyai daya ketahanan yang kuat agar dapat menghadapi cabaran sebenar dunia luar.

“Burnout atau keletihan melampau itu memang akan dirasai semua orang, cumanya pada kadar yang boleh diatasi atau tidak bergantung kepada individu terlibat.

“Golongan muda ketika ini paling mudah untuk adaptasi dengan kecanggihan teknologi semasa, sepatutnya mereka gunakan kemudahan itu untuk bekerja secara lebih berhemah jika mahu dibandingkan dengan zaman dahulu yang semuanya perlu dilakukan sendiri.

“Jika Gen Z mempunyai daya ketahanan yang tinggi, ia secara tidak langsung akan melatih mereka mengenai kemahiran berfikir dengan segala rasional,” katanya.

Tiada Daya Tahan Yang Kuat Jadi Antara Punca Sering Tukar Kerja

Tambahnya, tiada daya tahan yang kuat dalam fizikal dan mental segelintir Gen Z menyebabkan mereka sering bertukar kerja.

Jelas Dr Mariani, walaupun tidak dapat dinafikan faktor kewangan mempengaruhi pilihan bidang pekerjaan namun ada di antara mereka yang bertukar tempat kerja kerana tidak mampu berdepan dengan tekanan di pejabat.

Sekiranya ia tidak diatasi dari awal, maka mereka akan berterusan menghadapi keletihan melampau.

“Selagi tidak diatasi, tidak kira ke mana sahaja mereka bekerja, pasti akan mengalami masalah yang sama (burnout). Maka, adalah penting untuk mencari jalan penyelesaian kepada tekanan yang dihadapi selain memerlukan sistem sokongan yang baik daripada keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Didikan Ibu Bapa & Keadaan Sekeliling Bentuk Keperibadian

Mengenai dakwaan Gen Z bersikap ‘manja’ dan tidak boleh ditegur bekerja, Dr Mariani berpendapat keperibadian kebiasaannya bermula dengan didikan ibu bapa dan pengaruh keadaan sekeliling.

“Sikap segelintir ibu bapa yang mungkin terlalu memanjakan anak-anak mereka boleh menjadi punca kepada golongan muda hari ini bersikap cepat melatah apabila ditegur dan tidak tahan tekanan.

“Jadi, kita tidak boleh simpulkan mana-mana generasi bersikap manja atau sebagainya kerana ia bergantung kepada cara didikan dan pengaruh sekitar,” ujarnya.

Sebelum ini, Laporan Wellness at Work 2024 melaporkan 64% Gen Z dikatakan mengalami keletihan. Namun, generasi Milenial dikatakan golongan paling teruk menghadapi keletihan dengan kadar 69%.

Untuk info, Gen Z merupakan golongan yang dilahirkan antara Januari 1995 dan Disember 2003 manakala Milenial merupakan mereka yang lahir Januari 1983 dan Disember 1994.

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Kongsi Pengalaman & Kesan Dibuli Di Tempat Kerja [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Usikan & Gurauan Lucah Sesama Jantina Boleh Undang Tekanan Emosi Kepada Mangsa

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.