Bekas Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid Sokong UPSR & PT3 Dikembalikan Semula
Menurut Datuk Seri Mahdzir Khalid, beliau berpendapat kedua-dua peperiksaan itu mempunyai nilai yang tersendiri.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada 2022, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan juga Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) telah dibatalkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Ujian itu kemudiannya telah digantikan dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Namun pada Ahad (15 September) lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpendapat ujian peperiksaan untuk tahun 6 dan Tingkatan 3 perlu dirombak semula.
Memetik laporan Malaysia Gazette, dapatan tersebut adalah hasil perbincangan bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Ambil Kira Kekangan Masa Murid, PT3 2021 Dibatalkan & UPSR Dimansuhkan
Bekas Menteri Pendidikan sokong UPSR & PT3 dikembalikan
Terbaharu Mantan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menyokong sekiranya UPSR dan juga PT3 dikembalikan semula.
Jelasnya ujian tersebut telah menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid.
“Saya berpandangan bahawa kedua-dua peperiksaan UPSR dan PT3 itu ada nilainya yang tersendiri dan ia menjadi salah satu komponen yang penting di dalam sistem pendidikan kita sejak sekian lama.
“Jadi saya melihat perkara itu ada kewajarannya untuk diadakan semula kerana ia telah terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid sepertimana yang kita mahukan untuk anak-anak generasi pewaris masa depan negara kita,” ujarnya, dipetik Kosmo.
Sifatkan pemansuhan UPSR dan PT3 sebelum ini tergesa-gesa
Beliau berpendapat pemansuhan yang dilakukan oleh Mohd Radzi Jidin pada ketika itu dilakukan dalam keadaan yang tergesa-gesa serta dibuat tanpa kajian secara mendalam.
Menurutnya PBD dan PBS yang dilakukan untuk menggantikan ujian tersebut sudah memberi kesan terhadap penilaian sebenar tahap pencapaian pelajar. Malah ujarnya ia tak menggambarkan kemampuan sebenar pelajar tersebut.
“Saya melihat kaedah pentaksiran PBD dan PBS itu tidak menggambarkan tahap sebenar kemampuan pelajar berbanding menerusi penilaian berasaskan sistem peperiksaan.
“Kaedah pentaksiran tersebut juga saya fikir telah memberi beban tambahan kepada guru-guru kelas.”
Jelasnya lagi, saranan Ahmad Zahid agar ujian berkenaan disemak serta dirombak kembali hendaklah dilihat dari sudut positif oleh Kementerian Pendidikan.
Tambahnya kesan kepada pemansuhan UPSR serta PT3 juga dapat dilihat dari isu keciciran sekitar 10,177 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu berpunca dari masalah membaca menulis, serta mengira (3M).