Perhimpunan ‘We Are RXZ Members’ Masih Boleh Diteruskan Dengan SOP, Jelas JSPT Bukit Aman
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) berkata pihaknya akan memfokuskan kepada kawalan lalu lintas dan keselamatan berdasarkan jumlah peserta, kenderaan serta orang ramai yang menghadiri acara perhimpunan RXZ.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kalau anda nak tahu, program RXZ Members 6.0 telah berlangsung 13-14 September lalu di Terengganu International Drag Strip Gong Badak, Kuala Terengganu buat peminat dua roda dari serata negeri.
Pun begitu, sesetengah individu di media sosial meluahkan rasa kurang senang dengan kelakuan segelintir peserta program yang mana tidak mematuhi peraturan jalan raya.
Seperti beberapa video tular di X (Twitter) sebelum ini, kelihatan para peserta menunggang motosikal dengan bahaya iaitu dengan tidak menjaga jarak selamat sehingga menyebabkan kemalangan di atas lebuh raya.
RXZ members 6.0
— MYNEWSHUB (@mynewshub) September 13, 2024
Location: Gopeng, Perak pic.twitter.com/e0kG74S2hh
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Berehat & Bersihkan Diri, Peserta RXZ Members Dijemput Singgah Ke Masjid Al-Abrar
Polis Tak Cadang Untuk Haramkan Himpunan RXZ
Semalam (17 September), pihak polis memaklumkan bahawa mereka tiada rancangan untuk mengharamkan program perhimpunan We Are RXZ. Pun begitu, pihak penganjur perlulah mematuhi prosedur semasa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi acara terbabit.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, prosedur termasuklah yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri dan polis peringkat kontinjen.
“Sebelum penganjuran sesuatu acara dibenarkan, ia melibatkan banyak pihak termasuk PBT yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen selain kebenaran daripada pihak polis.
“Pihak JSPT akan memfokuskan kepada kawalan lalu lintas dan keselamatan berdasarkan jumlah peserta, kenderaan serta orang ramai yang ingin hadir dalam acara itu,” ujar beliau.
3 Individu Maut Dalam Program We Are RXZ Members 6.0
Berbicara mengenai acara berkenaan, Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin memaklumkan bahawa tiga individu telah maut dalam tiga kemalangan berasingan membabitkan peserta program We Are RXZ Members 6.0.
Memetik Berita Harian, kes maut masing-masing berlaku di Marang, Kemaman dan Hulu Terengganu. Manakala enam penunggang motosikal pula dilaporkan mengalami kecederaan.
Mohd Khairi berkata polis turut mengeluarkan 89 saman membabitkan pelbagai kesalahan dalam operasi yang dilakukan di sana dan turut menyita 15 motosikal.
Untuk info, program ini merupakan edisi keenam penganjuran selepas julung kali diadakan pada 2017 lalu.
Penunggang Motor Mesti Bersikap Bertanggungjawab Ketika Di Jalan Raya
Mengulas lanjut mengenai kemalangan, Mohd Yusri berkata sejumlah 1,366 kes direkodkan berlaku di seluruh negara semalam melibatkan 12 nyawa terkorban. Bilangan ini menurun daripada 14 kes kematian dengan 1,641 kes kemalangan pada hari sebelumnya (16 September).
“Faktor kemalangan yang utama adalah faktor manusia selain faktor kenderaan dan persekitaran yang hampir 95% kemalangan jalan raya berlaku. Sikap pengguna kenderaan bermotor memainkan peranan penting apabila berada di atas jalan raya.
“Hendaklah mempunyai sifat bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain, selain bekerjasama antara satu sama lain,” tegas beliau.
Perlu Sentiasa Cakna Tentang Keselamatan Ketika Di Jalan Raya
Dalam masa yang sama, Mohd Yusri turut menasihati para pengguna jalan raya untuk sentiasa merancang perjalanan dan bersabar terutamanya jika mahu pulang ke kampung halaman bersempena cuti sekolah ini.
“Apabila terperangkap di dalam kesesakan hendaklah bersabar dan kawal emosi supaya tiada perkara negatif akan berlaku. Gunakan peluang cuti sekolah ini untuk mendidik ahli keluarga tentang pentingnya keselamatan di jalan raya untuk mengurangkan kadar kemalangan maut,” tambah beliau lagi.