Pokok Tumbang Di Tapak Perkhemahan Di Kuantan, Warga Emas Maut & Cucu Cedera
Mangsa ketika itu sedang duduk di atas kerusi depan khemahnya sebelum dihempap pokok dalam kejadian di Pantai Balok, Kuantan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Malaysia mula dilanda hujan lebat di beberapa tempat dalam negara sejak kebelakangan ini.
Pada hari Isnin, sebuah feri yang membawa penumpang ke Langkawi terkandas di atas beting pasir setelah ditolak hujan lebat dan angin kencang.
Beberapa keadaan banjir juga dilaporkan di utara negara membabitkan negeri Kedah dan Pulau Pinang sehingga ribuan orang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Lelaki Warga Emas Maut, Cucu Tercedera Di Kepala
Petang semalam (17 September) seorang lelaki warga emas, Che Zakariah Che Ali, maut setelah dihempap pokok yang tumbang ketika berkhemah.
Insiden yang berlaku di tapak perkhemahan Pantai Balok, Beserah, Kuantan susulan hujan lebat dan ribut turut mencederakan cucu mangsa.
Nurul Amni Aisyah Mohamad Afiq berusia tujuh tahun yang berada di tapak perkhemahan tersebut turut dihempap pokok dan telah tercedera di kepala.
Lelaki warga emas yang berasal dari Kemaman, Terengganu itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakal Nurul Amni menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan keadaannya stabil.
Mangsa Dihempap Ketika Sedang Duduk Di Kerusi Depan Khemah
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, mangsa ketika itu sedang menyertai aktiviti perkhemahan 3 hari 2 malam bersama 13 ahli keluarganya sejak 16 September.
“Kira-kira jam 3.10 petang tadi, hujan dan angin kencang melanda kawasan perkhemahan dan mangsa ketika itu sedang duduk di atas kerusi di depan khemahnya.
“Tiba-tiba menantunya yang berada dalam khemah bersama isteri dan dua anaknya terdengar bunyi pokok tumbang dan semasa menyelamatkan diri mangsa dilihat sudah dihempap pokok dan mereka cuba mengalihkannya,” katanya dipetik Berita Harian.
Sehubungan itu, mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Sultan Haji Ahmad Shah @ IIUM Kuantan bagi tujuan bedah siasat.
Pokok Dipercayai Jenis Ru Tumbang Di Tapak Perkhemahan
Terdahulu, tular satu rakaman video yang dikongsikan dalam Kumpulan Facebook Family Camping Malaysia, menyaksikan keadaan setelah insiden berkenaan terjadi di Pantai Balok.
Dapat dilihat sebatang pokok dipercayai jenis ru telah tumbang setelah patah pada bahagian berhampiran akarnya. Sebuah khemah berdekatan telah dihempap.
Di ruangan komen, seorang individu memaklumkan bahawa sebuah stor di pantai tersebut turut ranap dihempap pokok yang tumbang.
Kuantan Dijangka Alami Ribut Petir Setiap Hari Sehingga 24 September
Menyemak pada ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, perairan Laut China Selantan dan Selat Melaka Utara dijangka mengalami angin kencang dan laut bergelora sehingga 21 September.
Malah, banyak tempat di Malaysia termasuk kesemua negeri Pantai Timur dijangka mengalami ribut petir setiap hari sehingga 24 September.
Oleh itu, orang ramai diingatkan agar merancang semula sebarang aktiviti perkhemahan untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini daripada berlaku.