fbpx

Serbuan Rumah Amal GISBH: PDRM Tegaskan Perbincangan Dengan Suspek Jenayah Bukan SOP Siasatan

Pengerusi Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali, sebelum ini mendakwa rundingan sepatutnya diadakan dengan syarikat tersebut sebelum serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya tidak akan mengadakan sebarang perbincangan dengan pengurusan GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang mengendalikan rumah amal terkait dakwaan penderaan dan eksploitasi kanak-kanak.

Dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Kuala Lumpur semalam (17 September), Razarudin mempersoalkan keperluan untuk mengadakan perbincangan terutamanya dengan pihak pengurusan atasan syarikat itu.

Beliau berkata sedemikian sebagai maklum balas terhadap satu kenyataan daripada Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali, yang mendakwa tiada sebarang perbincangan diadakan dengan pihak pengurusan sebelum serbuan dilakukan pada 11 September lalu.

Kumpul Bukti, Selesaikan Siasatan & Rujuk Kepada Pejabat Peguam Negara

Razarudin menerangkan bahawa prosedur pihak polis adalah mengumpul bukti dan menyelesaikan siasatan, yang kemudiannya dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara bagi arahan selanjutnya.

“Adakah kalau kita (polis) menyiasat dan kita nak bincang, bagaimana pula dengan bukti kita?” persoalnya.

Terdahulu, serbuan ke atas 20 rumah amal yang dikendalikan oleh GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berumur satu hingga 17 tahun atas dakwaan eksploitasi dan penderaan.

Baca Artikel Berkaitan: Polis Serbu Premis Rumah Amal GISB, Kanak-Kanak Diajar Meliwat & Diliwat

Berhubung Dengan Suspek Bukan Sebahagian Prosedur Standard Siasatan

Menurut Razarudin, mangsa berdepan dengan pelbagai bentuk eksploitasi dan penderaan termasuk liwat.

GISBH sebelum ini telah menafikan dakwaan dan sebarang kaitan dengan kes tersebut, dengan Nasiruddin mempersoalkan tindakan pihak berkuasa menahan kesemua kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

Dia juga mendakwa rundingan sepatutnya diadakan dengan syarikat tersebut sebelum serbuan dilakukan.

Razarudin walau bagaimanapun menegaskan bahawa perbincangan dengan suspek jenayah bukanlah sebahagian daripada prosedur standard siasatan. Sebaliknya, pihak polis memberi fokus ke atas pengumpulan bukti serta mendapatkan keadilan bagi mangsa.

Dia memberikan analogi, “Kalau macam itu sebagai contoh rumah disamun dan kita kenal pasti penjenayah, adakah perlu saya bincang dengan penjenayah itu? Adakah itu tindakannya?”

171 Ahli Kakitangan GISBH Ditahan

Dalam pada masa sama, Razarudin berkata seorang penjaga di sebuah rumah amal dikaitkan dengan GISBH adalah antara 171 ahli kakitangan yang ditahan dalam Op Global minggu lepas.

Tambahnya, siasatan mendapati suspek lelaki itu disyaki melakukan penderaan fizikal terhadap penduduk di rumah amal tersebut.

“Suspek telah mengakui melakukan penderaan tersebut, namun kami masih mengenal pasti sama ada mangsa antara yang diselamatkan atau masih berada di luar sana,” katanya.

Di samping itu, Razarudin turut mengesahkan sebanyak 740 rakaman percakapan telah dibuat berhubung siasatan ke atas GISBH.

Beliau juga meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi berkaitan siasatan kes ini dan membenarkan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan tanpa gangguan.

Baca Artikel Berkaitan: Ada Kanak-Kanak Diselamatkan Dari Rumah Amal Dikaitkan Dengan GISBH Berstatus OKU, Autisme & ‘Bin Abdullah’

Baca Artikel Berkaitan: “Liwat Tu Ada, Tapi Satu Dua Kes” – Pemimpin GISBH Bakal Ambil Khidmat Peguam, Minta Rakyat Tolong Bayar

Baca Artikel Berkaitan: Sering Dikait Dengan Kumpulan Al-Arqam, Ini Sejarah Penubuhan GISBH

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.