Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Isytihar Ajaran GISBH Sebagai Sesat
Menurut Mufti Perlis, model ekonomi yang diamalkan oleh GISBH juga bukanlah model ekonomi sebenar dan bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak awal bulan ini, hangat diperkatakan mengenai organisasi dan syarikat yang dikenali sebagai Global Ikhwan Sdn. Bhd. atau Global Ikhwan Services and Business Holding Sdn Bhd (GISBH).
Segalanya bermula apabila tular di media sosial yang mendakwa syarikat tersebut terlibat dengan ajaran sesat. Malah, GISBH juga didakwa terlibat dengan jenayah mengeksploitasi kanak-kanak.
Namun, GISBH sebelum ini menafikan terlibat atau menyokong mana-mana ajaran yang difatwakan sesat di Malaysia sejak penubuhannya lagi.
Jelas mereka, sejak ia ditubuhkan pada 23 Oktober 2012, GISBH mematuhi ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Baca Artikel Berkaitan: GISBH Nafi Terlibat Ajaran Sesat, Akan Beri Kerjasama Kepada Polis & Jakim
Kepercayaan & Ajaran GISBH Ada Unsur Ajaran Sesat
Terbaharu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.
Ini menjadikan Perlis negeri pertama yang mengisytiharkan organisasi berkenaan sebagai kumpulan ajaran sesat.
Tegas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, ajaran yang dibawa oleh GISBH merupakan kesinambungan ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.
“Pegangan kumpulan GISBH yang mengkultuskan pemimpin atau tokoh-tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batasan ke tahap seakan menyamakan kedudukan setaraf Nabi SAW atau mempunyai keajaiban atau mengetahui perkara yang ghaib seakan Tuhan adalah fahaman yang bersifat batiniyyah, menyeleweng dan sesat.
“Kesan dan akibat daripada pengkultusan itu melahirkan ketaksuban yang melampau sehingga mentaati pemimpin atau golongan agama jelas bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.
Model Ekonomi Yang Diamalkan Bercanggah Dengan Islam
Tambah beliau, model ekonomi yang diamalkan oleh GISBH juga bukanlah model ekonomi sebenar dan bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam.
“Ini kerana ia mempunyai unsur penindasan dan perhambaan terhadap mereka yang terlibat serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga demi kepentingan pihak yang dikultuskan.
“Dengan ini segala ajaran, aktiviti dan apa sahaja yang boleh membantu syarikat itu adalah dilarang.
“Jawatankuasa juga mencadangkan masyarakat Islam perlu membantu pemulihan ahli-ahli GISBH yang ingin keluar dari kesesatan,” katanya.
Masyarakat Perlu Bantu Ahli GISBH Yang Ingin Keluar Dari Kesesatan
Dalam pada itu, Dr Asri yang juga dikenali sebagai Dr Maza menjelaskan peruntukan zakat di bawah fi sabilillah, al-riqab dan fakir miskin boleh digunakan untuk membantu pemulihan seperti pembiayaan pendidikan, pembinaan semula kehidupan, perlindungan keselamatan, bantuan guaman membabitkan pembebasan diri dari GISBH serta pembiayaan dakwah pemurnian akidah.
Malah, beliau meminta agar masyarakat Islam mengambil sikap positif dalam membantu bekas ahli organisasi ini keluar dari belenggu kesesatan.
“Sekolah yang mempunyai manhaj pengajian Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar hendaklah membantu mengambil anak-anak GISBH untuk diberikan pendidikan sepatutnya.
“Badan-badan swasta juga boleh membantu untuk memberi peluang pekerjaan supaya mereka dapat hidup seperti masyarakat Islam yang lain.
“Dalam masa sama, semua pihak hendaklah bersama memantau bagi memastikan mereka tidak kembali kepada ajaran sesat tersebut,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: GISBH Ada Kaitan Dengan Kumpulan Arqam? Ini Sejarah Penubuhannya
Baca Artikel Berkaitan: Produk Roti GISBH Dengan Logo Halal Gambar Lama, JAKIM Sahkan Ia Tidak Lagi Digunakan
Baca Artikel Berkaitan: Tuduhan Ajar Liwat, GISBH Akan Buat Laporan Polis