
4 Pegawai JAIM Ditukar & Dipecat Gara-gara Papar Gambar Presiden PAS Pada Slaid Khutbah Jumaat
Hadi Awang menyifatkan tindakan yang dikenakan ke atas pegawai JAIM yang terlibat adalah amat keterlaluan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, tular infografik slaid khutbah Jumaat pada 20 September lalu di Melaka yang memaparkan gambar Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Tidak hanya itu, di dalam slaid berasingan, turut dipaparkan wajah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan bukannya gambar Sultan Ibrahim selaku YDPA Ke-17.
Isu tersebut kemudiannya mendapat perhatian ramai rakyat Malaysia yang mempersoal bagaimana perkara sedemikian boleh berlaku.

JAIM pecat dan tukar tempat bertugas empat pegawai
Susulan itu, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah megambil tindakan tegas terhadap empat pegawainya yang bertanggungjawab terhadap slaid infografik khutbah Jumaat berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, terdapat pegawai yang diberhentikan perkhidmatan atas sebab kecuaian, manakala yang lain ditukarkan ke bahagian atau daerah lain.
Ketua penolong pengarah Bahagian Pengurusan Masjid JAIM antara yang terlibat
Menurutnya, antara pegawai terlibat adalah ketua penolong pengarah di Bahagian Pengurusan Masjid JAIM.
“Mereka merupakan kakitangan Bahagian Pengurusan Masjid yang bertanggungjawab melaksanakan penyediaan slaid tersebut.
“la satu kesilapan yang sama sekali tidak boleh dilakukan dan JAIM memohon maaf atas kekhilafan tersebut serta akan memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya dipetik Kosmo.
Tindakan yang amat keterlaluan – Hadi Awang
Dalam pada itu, Hadi Awang menerusi satu ciapan di laman X miliknya telah menzahirkan rasa simpati terhadap pegawai JAIM yang terlibat.
Malah beliau menyifatkan tindakan yang dikenakan ke atas pegawai terlibat adalah amat keterlaluan.
Saya amat bersimpati dan terkejut dengan tindakan yang amat keterlaluan dikenakan ke atas pegawai JAIM yang terlibat. https://t.co/kK1sdYFHaz
— Abdul Hadi Awang (@abdulhadiawang) September 23, 2024
Sebelum ini, infografik khutbah bertajuk ‘Negaraku, Tanah Airku’ yang disediakan Bahagian Pengurusan Masjid JAIM bersempena Sambutan Hari Malaysia telah menimbulkan pelbagai reaksi negatif susulan paparan wajah Hadi Awang itu kerana didakwa bermotifkan politik.
Terdahulu, JAIM menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf dan mengarahkan slaid infografik tersebut ditarik balik.