Tular Video Jalur Gemilang Diturunkan Diganti Bendera Sabah & Sarawak, Polis Jalankan Siasatan
Menurut Ketua Polis Negara, hasil siasatan awal mendapati insiden itu berlaku di Melbourne, Australia pada 16 September lalu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan beberapa individu berkumpul di hadapan sebuah bangunan dan menurunkan bendera Malaysia, Jalur Gemilang.
Di dalam video berkenaan, mereka juga dilihat menaikkan bendera Sabah dan Sarawak sambil menyanyikan lagu kedua-dua negeri itu.
Video tersebut kemudiannya mendapat perhatian rakyat Malaysia termasuk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sekali gus meraih pelbagai reaksi di media sosial.
Polis buka kertas siasatan video turunkan Jalur Gemilang
Terbaharu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung video berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sru Razarudin Husain berkata, hasil siasatan awal mendapati insiden itu berlaku di Melbourne, Australia pada 16 September lalu.
Menurutnya, tindakan individu-individu itu kononnya sebagai simbolik penamatan ‘penjajahan’ Malaysia ke atas kedua-dua negeri itu serta cubaan menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai republik.
“Polis menerima 35 laporan berkait penyebaran video itu, dengan 34 daripadanya di Sabah dan satu lagi di Kuala Lumpur,” katanya dipetik Berita Harian.
Video ditularkan pemilik akaun beralamat di Sabah yang sedang dibicarakan di mahkamah
Menurutnya lagi, hasil siasatan juga mendapati video itu disyaki ditularkan oleh pemilik akaun media sosial beralamat di Sabah yang memiliki dua rekod jenayah membabitkan Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jelasnya, lelaki itu sedang dibicarakan di mahkamah Kota Kinabalu tetapi dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM3,000 sementara menunggu sebutan semula kes pada November depan.
“Kita sedang menyiasat hubungan antara suspek dengan individu yang dirakam melakukan perbuatan berkenaan (menurunkan bendera),” katanya.
Terdahulu, dalam video berdurasi lapan minit 13 saat itu, kelihatan bendera Sabah dan Sarawak dinaikan pada paras separuh tiang sahaja sebagai tanda protes.
Kejadian itu berlaku di hadapan bangunan Parlimen di Victoria, Melbourne.