fbpx
Now Reading
Isu GISBH: Sultan Selangor Titah Percepat Proses Tindakan Lanjut

Isu GISBH: Sultan Selangor Titah Percepat Proses Tindakan Lanjut

Menurut Menteri Besar Selangor, isu GISBH merupakan antara perkara yang ditekankan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika sesi pertemuan mingguan yang diadakan semalam (24 September).

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Walaupun hampir sebulan berlalu, kontroversi melibatkan organisasi dan syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) masih hangat lagi diperkatakan hingga kini.

Ia bukan sahaja menjadi bualan rakyat Malaysia namun isu itu juga turut mendapat perhatian daripada pemerintah tertinggi antaranya seperti Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sultan Selangor Titah Percepat Proses Tindakan Lanjut GISBH

Terbaharu, Sultan Selangor menitahkan agar proses tindakan lanjut berhubung isu GISBH dipercepatkan.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, isu tersebut merupakan antara perkara yang ditekankan oleh baginda ketika sesi pertemuan mingguan yang diadakan semalam (24 September).

Baginda berpandangan pasukan siasatan perlu lebih cekap dalam meneliti sebarang kesalahan termasuk kes jenayah yang melibatkan organisasi itu.

“Pada sesi pertemuan tadi, isu GISBH tidaklah dibincang secara spesifik namun baginda meminta supaya tindakan lanjut dipercepatkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Esok (25 September), Dr Mohammad Fahmi Ngah (Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi) dijangka memberi beberapa penemuan mengenai perkara itu serta tindakan yang bakal diambil,” katanya yang dipetik dari Bernama.

Jelas Amirudin, sesi menghadap yang berlangsung di Istana Bukit Kayangan itu berlangsung selama dua jam.

Kerajaan Negeri Akan Kuatkuasa Larangan Operasi Terhadap Premis GISBH

Pada masa yang sama, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri akan menguatkuasa larangan operasi terhadap premis GISBH selepas mendapat laporan penuh daripada polis dan Jawatankuasa Agama Islam Negeri.

“Sudah tentu polis perlu menjalankan siasatan penuh dan menyerahkannya kepada kami (kerajaan negeri) bagi tindakan lanjut seperti tidak membenarkan mereka menggunakan premis di Selangor.

“Namun, ia juga perlu berlandaskan fatwa dan peraturan daripada jawatankuasa agama yang akan bermesyuarat nanti. Ini bukan kali pertama kontroversi berlaku membabitkan mereka selepas kes Al-Arqam dan Rufaqa,” katanya lagi.

Terdahulu, Sultan Selangor telah menitahkan agar semua agensi mengambil tindakan segera berhubung isu dan kegiatan GISBH.

Titah baginda, kelewatan dalam menangani isu tersebut menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan hingga keadaan menjadi tidak terkawal.

Malah, baginda tidak mahu pihak berwajib diibaratkan sebagai ‘tin kosong’ yang hanya pandai bercakap namun tiada hasilnya.

Pada masa yang sama, Sultan Selangor turut menitahkan semua rumah amal dan sekolah di bawah GISBH dan rangkaiannya ditutup dan tidak dibenarkan beroperasi di negeri itu.

Baginda juga menggesa agar Jawatankuasa Fatwa Negeri mengkaji dan meneliti sama ada amalan GISBH menyeleweng atau bercanggah dari ajaran Islam sebenar.

Sebagai info, Sultan Sharafuddin sebelum ini merupakan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bermula dari 10 Mac 2022 sehingga 9 Mac 2024.

Baginda bagaimanapun memilih untuk tidak menyambung tugasnya selepas perkhidmatan baginda tamat.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi MKI yang baharu berkuatkuasa 9 Mac 2024 sehingga 8 Mac 2026.

Baca Artikel Berkaitan: Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Isytihar Ajaran GISBH Sebagai Sesat

Baca Artikel Berkaitan: “Memang Liwat Itu Ada, Tapi Satu Dua Kes, Kenapa Dirangkumkan Semua? – Pemimpin GISBH [Video]

Baca Artikel Berkaitan: GISBH Nafi Terlibat Ajaran Sesat, Akan Beri Kerjasama Kepada Polis & Jakim

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.