Tular Video Pandu Secara Melulu & Bahaya, Polis Bukit Aman Beri Amaran Kepada Peserta Gumball 3000
Amaran ini diberikan susulan beberapa video menunjukkan kenderaan-kenderaan nombor plat asing ini memandu secara berbahaya dan melanggar peraturan jalan raya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak minggu lalu, tular di media sosial beberapa video yang memaparkan kereta-kereta dari jenama mewah seperti Lamborghini, Ferrari, Porsche, Pagani dan Buggati dengan nombor pendaftaran asing yang dipandu di Malaysia.
Kenderaan-kenderaan jenis supercar dan hypercar ini adalah daripada kalangan peserta rali Gumball 3000 yang bermula dari Ho Chi Minh (Saigon), Vietnam pada 14 September lalu menuju ke Singapura.
Pandu secara melulu dan bahaya, Bukit Aman beri amaran kepada peserta Gumball 3000
Pun begitu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memberi amaran kepada semua pengguna jalan raya termasuk pemandu asing supaya mematuhi undang-undang trafik di negara ini atau mereka akan berdepan dengan tindakan.
Amaran ini diberikan susulan beberapa video yang tular di media sosial menunjukkan kenderaan-kenderaan supercar dan hypercar dengan nombor plat asing memandu secara berbahaya dan melanggar peraturan jalan raya.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan berkata, kereta-kereta terbabit disahkan adalah sebahagian daripada rali Gumball 3000.
“Berdasarkan video-video tersebut, kami telah mengenal pasti beberapa kesalahan, termasuk memandu secara melulu dan penyalahgunaan lorong kecemasan,” katanya semalam dipetik New Straits Times.
Tiada laporan rasmi diterima polis setakat ini
Menurutnya, setakat ini tiada laporan rasmi yang diterima, namun beliau menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil ke hadapan.
“Pemandu, tanpa mengira kewarganegaraan, mesti mematuhi undang-undang trafik kita. Pesalah akan diambil tindakan,” katanya lagi.
Sekadar info rali Gumball 3000 yang meraikan ulang tahunnya yang ke-25 telah menampilkan lebih daripada 100 kereta mewah yang dipandu oleh selebriti dan pempengaruh media sosial.
Kebanyakan video yang berlegar di media sosial memaparkan peserta-peserta rali tersebut memandu secara laju, membuat aksi drift dan menggunakan lorong kecemasan.
Bukit Batu Kawan, Penang pic.twitter.com/S70pvnmHRd
— #UpdateInfo🇲🇾🌍 (@update11111) September 20, 2024