Sultan Sharafuddin Berkenan Terima Permohonan Ampun Sanusi
Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menasihati Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi untuk menjaga pertuturan dan tidak terlalu beremosi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima permohonan ampun dari Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Dalam kenyataan di laman Facebook Selangor Royal Office tersebut, baginda menjelaskan bahawa permohonan ampun itu diterima atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.
“Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas di dalam permohonan maafnya,” titah Sultan Selangor.
Sultan Selangor Nasihat MB Kedah Untuk Jaga Pertuturan
Menerusi warkah itu juga Sultan Sharafuddin menasihati Sanusi untuk tidak terlalu beremosi dan mengeluarkan kata-kata yang kurang baik dalam ucapannya kepada rakyat lebih-lebih lagi ketika berada di Negeri Selangor.
“Di kesempatan ini Beta ingin menasihati Datuk Seri agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila dan jangan terlalu beremosi dan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali bila berada di dalam Negeri Selangor,” titah Sultan Sharafuddin.
Baginda bertitah sedemikian kerana tidak mahu masyarakat di negeri Selangor akan terpengaruh dengan tohmahan yang tidak berasas melibatkan golongan pemimpin.
“Sebagai seorang pemimpin, Sanusi harus memikirkan kesan yang akan diperolehi dari setiap tindak tanduk yang telah dilakukan,” Sultan Selangor bertitah dalam warkah tersebut.
Sebagai penutup, baginda berharap agar Sanusi yang juga ADUN Jeneri akan terus berjaya dan dipermudahkan urusan dalam melaksanakan tanggungjawab.
Sanusi Mohon Ampun Kepada Sultan Selangor
Pada 25 September lalu, MB Kedah menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebook Urus Setia Penerangan Darul Aman – UPDA telah mengeluarkan satu surat permohonan ampun kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berikutan kenyataan yang dianggap menghina dan tidak menghormati baginda.
Dalam surat tersebut, Sanusi mengakui bahawa kata-kata yang dikeluarkan oleh beliau telah mengguris hati Sultan Selangor dan menyesali atas tindakan yang dilakukan.
Ujar Sanusi lagi, beliau menyedari bahawa perbuatan mengeluarkan kata-kata tidak beradab itu tidak sepatutnya dilakukan ketika berada di negeri lain.
Di akhir surat permohonan ampun itu, Sanusi turut menggelar dirinya sebagai ‘Patik pacal yang hina’ sebagai tanda merendah diri terhadap Sultan Sharafudin Idris Shah.
Baca Artikel Berkaitan: “Patik Pacal Yang Hina” – Menteri Besar Kedah Mohon Ampun Kepada Sultan Selangor
Kenyataan itu turut dibacakan oleh Sanusi selepas Mesyuarat EXCO di Alor Setar, Kedah semalam (26 September).
Apa Yang Berlaku Sebelum Ini?
Pada 11 Julai 2023 yang lalu, satu kenyataan telah dikeluarkan oleh Sanusi dalam ucapannya semasa memberikan ceramah di Taman Selayang Mutiara, Gombak, Selangor.
Dalam ceramah berkenaan, Sanusi telah membandingkan urusan pelantikan MB Selangor dan MB Kedah.
Susulan itu, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas telah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.
Kemudian pada 29 Februari lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri itu mengekalkan pengakuan tidak bersalah beliau terhadap dua pertuduhan menghasut melibatkan pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Baca Artikel Berkaitan: “Ini Baru Politik Matang” – MB Selangor Lepak Bersama Sanusi Lepas Main Bola Raih Pujian Ramai [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Minta Sarawak Tanggung Sebahagian Kos Hantar Kontinjen Kedah Ke SUKMA Hanya Gurauan Sanusi