Guru Penjawat Awam Paling Ramai Ambil MC – Cuepacs
Menurut Cuepacs, kebanyakan penjawat awam yang menipu dengan mengemukakan MC palsu adalah mereka yang gagal mendapatkan cuti sakit daripada pihak klinik atau hospital.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Di Malaysia, pihak majikan perlulah memberi cuti umum, cuti tahunan, dan cuti sakit. Bukan itu sahaja, cuti rehat juga perlu diberikan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu kepada pekerja berdasarkan Akta Pekerja 1955.
Sebagai contoh, pekerja yang mendapat sijil cuti sakit atau medical certificate (MC) yang sah berhak mendapatkan cuti berkenaan selama beberapa hari yang diberikan tanpa pemotongan gaji hariannya.
Bagaimanapun, masih ada segelintir pekerja yang tidak bertanggungjawab sanggup memberikan MC palsu kepada majikannya demi mendapatkan cuti tambahan.
Guru penjawat awam paling ramai palsukan MC
Seperti baru-baru ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendedahkan golongan guru adalah kumpulan penjawat awam paling ramai terlibat dalam salah laku memalsukan MC.
Selain itu, ada juga guru yang dikesan sengaja memohon cuti kecemasan (EL) untuk kepentingan peribadi.
Menurut kesatuan itu, setiap tahun kira-kira 1% hingga 2% daripada 10,000 penjawat awam dikenal pasti memberi cuti palsu selain sengaja menggunakan EL semata-mata mahu melanjutkan tempoh bercuti.
“Selalunya selepas cuti panjang akan ada penjawat awam yang bagi cuti sakit palsu termasuk memohon cuti kecemasan. Kes ini lebih ramai berlaku dalam kalangan guru.
“Mereka ini (guru) tidak banyak cuti tahunan seperti mana yang diterima oleh penjawat awam lain, sebaliknya mereka banyak bergantung kepada cuti persekolahan.
“Jadi ada yang tidak bertanggungjawab sehingga beri cuti sakit palsu semata-mata mahu sambung percutian,” katanya dipetik Kosmo.
Kemukakan MC palsu kerana gagal dapatkan cuti sakit dari klinik atau hospital
Menurutnya lagi, kebanyakan penjawat awam yang menipu dengan mengemukakan MC palsu adalah mereka yang gagal mendapatkan cuti sakit daripada pihak klinik atau hospital.
“Mereka tipu sebab kadang-kadang tidak dapat cuti sakit di klinik atas faktor kesihatan mereka tidak sampai ke tahap mengganggu proses kerja.
“Ada juga dalam kalangan penjawat awam selalu beri alasan penat sebab perlu memandu dalam tempoh lama semasa cuti dan mereka memerlukan tambahan rehat. Sebab itu ada yang memohon MC sedangkan mereka bukannya sakit,” jelasnya.
Penjawat awam tipu cuti sakit boleh dibuang kerja
Tambah Cuepacs, mana-mana penjawat awam yang ditangkap menipu dalam menggunakan kemudahan cuti tersebut berdepan tindakan tatatertib termasuklah dibuang kerja.
“Perbuatan tersebut boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana telah melanggar Akta Pekerja 1955 dan juga Peraturan 4(2)(f) dan (g), Peraturan-Peraturan Pegawai Am (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” kata Cuepacs
Cuepacs mahu kementerian dan jabatan terlibat pantau perbuatan ini
Susulan itu, Cuepacs ingin setiap kementerian dan jabatan terlibat untuk memantau perbuatan tersebut bagi mengelakkan ia menjadi semakin kronik dalam kalangan penjawat awam.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, budaya menipu MC dapat memberi impak negatif terhadap produktiviti organisasi dan juga persepsi majikan terhadap pekerja.
“Isu pekerja yang menyalahgunakan MC atau cuti kecemasan ketika cuti umum bersambung memang sering berlaku.
“Pekerja yang terlibat dalam amalan ini mungkin dianggap tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati etika kerja sehingga boleh menjejaskan hubungan baik dengan majikan serta rakan sekerja lain,” katanya.