fbpx

Kerajaan Beri Bayangan Akan Henti Subsidi Pendidikan Buat Anak Orang Kaya

Jelas Anwar Ibrahim, perkara itu (subsidi pendidikan) akan menjadi antara keutamaan dalam pembentangan Belanjawan 2025 yang akan diadakan pada 18 Oktober 2025 depan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Subsidi merupakan satu bentuk bantuan kewangan yang disediakan kerajaan kepada rakyat khususnya buat golongan yang memerlukan.

Antara subsidi yang dinikmati oleh rakyat Malaysia adalah subsidi petrol, barang-barang asas seperti minyak masak, gula dan tepung serta pendidikan.

Seharusnya, pemberian bantuan ini dinikmati oleh golongan yang layak. Namun, kumpulan yang tidak sepatutnya turut menikmati keistimewaan ini.

Akan Kaji Semula Pemberian Subsidi Pendidikan Kepada Golongan Kaya

Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan kerajaan akan menghentikan pemberian subsidi pembiayaan pendidikan kepada anak golongan kaya.

Jelasnya, perkara itu akan menjadi antara keutamaan dalam pembentangan Belanjawan 2025 yang akan diadakan pada 18 Oktober 2025 bagi memastikan subsidi itu diberi kepada golongan miskin dan benar-benar layak.

“Anak-anak golongan pa­ling kaya termasuk orang kanan penjawat awam, pim­pinan politik, pengusaha-peng­usaha terkenal, semua di­hantar ke sekolah-sekolah terbaik, menengah sains yang dibantu dan diberi subsidi tinggi oleh kerajaan, ini harus dihentikan.

“Kalau subsidi ini diteruskan, ia meletakkan kita dalam keadaan tidak adil. Sepatutnya kalau anak orang kaya itu dihantar ke Fakulti Kejuruteraan (contohnya), Melayu atau Cina, dia (perlu) bayarlah.

“Kalau tidak subsidi ini (golongan kaya) berterusan dan hasil ini (sepatutnya) akan digunakan untuk menampung kekurangan dan membantu rakyat yang miskin,” katanya.

Pengagihan Dana Perlu Dilaksanakan Secara Adil

Tegas Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan, pengagihan dana perlu dilaksanakan secara adil khususnya di kawasan terpencil dan yang mempunyai kadar kemiskinan tinggi.

Menjadikan sebuah sekolah menengah di Kapit, Sarawak yang terletak di daerah terpencil dan mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi sebagai contoh, Anwar menjelaskan pemberian dana mungkin tidak setimpal namun harus ada usaha bagi meningkatkan kemudahan, keupayaan dan mutu pendidikan.

“Perkara ini saya hanya berikan hebahan awal sebelum umum belanjawan bulan depan. Negara kalau benar mahu adil, harus adil kepada golongan yang memerlukan termasuk golongan rentan,” jelasnya.

Pakar Sahut Baik Langkah Kerajaan Hentikan Subsidi Pendidikan Pada Golongan Kaya

Dalam pada itu, ahli akademik dan pakar menyambut baik cadangan kerajaan untuk menghentikan subsidi pendidikan kepada golongan kaya.

Menurut Ahli Akademik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, penubuhan pusat pendidikan seperti sekolah berasrama penuh, sekolah menengah sains dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) perlu kembali ke objektif asal.

Jelasnya, ia termasuk membantu golongan berpendapatan rendah dan luar bandar bagi memperbaiki kehidupan menerusi pendidikan.

“Ramai anak-anak (miskin) berpotensi dan cemerlang tidak berpeluang memasuki ke sekolah baik itu. Sepatutnya beri tumpuan kerana mereka mudah tercicir jika diabaikan.

“Golongan kaya atau ibu bapa berpendapatan sangat tinggi boleh ‘survive’ dan kemampuan mereka jauh lebih baik,” katanya yang dipetik dari FMT.

Selain itu, penganalisis ekonomi Aimi Zulhazmi Rashid berpendapat Kerajaan perlu menilai semula kriteria pemberian bantuan pendidikan bagi mengelakkan pembaziran peruntukan.

Jelasnya, kerajaan perlu memanfaatkan Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) yang boleh mengenal pasti pendapat bersih isi rumah secara jelas bagi memastikan tidak berlaku kelompangan jika langkah tersebut dilaksanakan.

“Tidak boleh lagi menggunakan data semasa dengan klasifikasi am seperti B40, M40 dan T20” katanya.

Malah, bagi Aimi, penjimatan daripada inisiatif itu tidak hanya boleh digunakan bagi Pendidikan luar bandar tetapi juga untuk memperbaiki kemudahan asas.

“Jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar ini tidak boleh dibiarkan melebar,” katanya. 

Baca Artikel Berkaitan: Tiada Pilihan Lain, Penyasaran Subsidi Untuk Selamatkan Negara – Anwar Ibrahim

Baca Artikel Berkaitan: Penyasaran Subsidi Bukan Untuk Susahkan Rakyat, Kata Rafizi [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.