Kerajaan Masih Tanggung Perbelanjaan Subsidi Diesel, Kata Rafizi Ramli
Menurut Rafizi, meskipun harga diesel diapungkan, masih terdapat sektor-sektor yang harganya diberikan subsidi kepada golongan tertentu seperti nelayan, pengangkutan awam serta industri logistik.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sekitar bulan Jun lalu, kecoh apabila kerajaan dikatakan telah menarik semula subsidi diesel di Semenanjung Malaysia yang selama ini dinikmati oleh segelintir rakyat.
Perkara ini menyebabkan harga diesel yang sebelum ini hanya sekitar RM2.15 seliter telah meningkat menjadi RM2.95 seliter (dahulu RM3.35).
Pun begitu, subsidi bagi bahan bakar terbabit tidaklah ditarik sepenuhnya, ia hanya disasarkan kepada golongan-golongan tertentu sahaja.
Baca Artikel Berkaitan: Harga Diesel Di Semenanjung RM3.35 Seliter Bermula Isnin, 10 Jun
Kerajaan masih tanggung perbelanjaan subsidi diesel
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan kerajaan sehingga kini masih lagi menanggung perbelanjaan pemberian subsidi diesel kepada sektor-sektor yang layak.
Menerusi audio siar (podcast) Yang Bakar Menteri (YBM) episod keenam di YouTube, Rafizi berkata meskipun harga diesel diapungkan, masih terdapat sektor-sektor yang harganya diberikan subsidi kepada golongan tertentu seperti nelayan, pengangkutan awam serta industri logistik.
“Sekarang ini (subsidi diesel) tidak diapungkan 100%, ia hanya melibatkan pengguna persendirian sahaja.
“Dan jumlah keseluruhan kepada kerajaan itu masih lagi signifikan kerana kita tidak menghapuskan subsidi, kita hanya menyasarkan sahaja,” katanya.
Beliau menjelaskan perkara itu bagi menjawab soalan Datuk Eric See To atau lebih dikenali sebagai Lim Sian See mengenai harga runcit diesel yang tidak mengikut harga pasaran semasa.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan menyatakan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel melibatkan penetapan harga mengikut harga pasaran.
Lebihan wang digunakan untuk bayar subsidi yang masih diberikan
Berkongsi lanjut, Rafizi berkata lebihan wang daripada perbezaan harga diesel dengan harga semasa digunakan untuk membayar subsidi yang masih lagi diberikan oleh kerajaan kepada golongan sasar.
“Oleh itu, kalau ada perbezaan dari segi harga mingguan itu, ada masanya akan jadi lebih dan ada masanya kurang, jadi kesan bersih daripada lebih atau kurang harga itu masih lagi menjadi perbelanjaan utama kerajaan dalam bentuk subsidi diesel.
“Sekiranya ada lebihan pada minggu ini ia akan dibawa ke minggu hadapan ataupun wang itu sebenarnya digunakan untuk membayar subsidi yang masih lagi berbilion-bilion ringgit kepada pengangkutan awam dan semua sektor yang telah ditetapkan termasuklah inisiatif BUDI MADANI,” katanya lagi.
Sekadar info, BUDI MADANI adalah usaha kerajaan untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak.
Ia meliputi bantuan individu (BUDI Individu), petani serta pekebun kecil (BUDI Argi-Komoditi) serta syarikat dan kenderaan pengangkutan (MySubsidi Diesel).
Baca Artikel Berkaitan: Subsidi Diesel BUDI MADANI: Ini FAQ BUDI Individu, Bantuan Untuk Pemilik Kenderaan Diesel