fbpx
Now Reading
“Sanggup Dia Buang Ayah Dalam Sungai, Perbuatan Yang Sangat Keterlaluan” – Anak Sabari Baharom

“Sanggup Dia Buang Ayah Dalam Sungai, Perbuatan Yang Sangat Keterlaluan” – Anak Sabari Baharom

Menurut Muhammad Amir, suspek yang ditahan dipercayai kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembinaan sebuah rumah terletak berhampiran kediaman bapanya di Baling.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Misteri kehilangan Sabari Baharom, 62, pesara pegawai kewangan Felcra di Baling sejak 4 September lalu akhirnya terjawab selepas polis mengesahkan mangsa dicampak ke dalam sebuah sungai di Jitra, Kedah.

Persoalan itu terjawab selepas polis menahan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun yang disyaki terbabit melakukan perbuatan itu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kedua-dua suspek membuat pengakuan bahawa mangsa telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

Anak Sabari hilang kata-kata, sifatkan perbuatan suspek sebagai kejam

Dalam pada itu, anak bongsu Sabari, Muhammad Amir Hakimi Sabari kehilangan kata-kata apabila dimaklumkan polis bahawa bapanya dicampakkan ke dalam sungai tersebut.

Pemuda berusia 25 tahun itu juga menyifatkan perbuatan kedua-dua suspek terhadap bapanya adalah sangat kejam dan keterlaluan.

“Sanggup dia (suspek) buang ayah dalam sungai. Perbuatan yang sangat keterlaluan kerana ayah orang yang sangat baik. Saya difahamkan ayah juga melayan suspek yang merupakan kontraktor dengan baik,” katanya dipetik Kosmo.

Suspek yang ditahan adalah kontraktor

Menurutnya, suspek yang ditahan dipercayai kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembinaan sebuah rumah terletak berhampiran kediaman bapanya di Baling.

“Seorang lagi suspek dipercayai anak saudara kontraktor tersebut,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, lelaki tempatan itu juga dipercayai baru menjalankan kerja-kerja pembinaan di Baling sekitar lima bulan yang lalu.

“Dia bukan orang Baling, tetapi hanya datang ke sana untuk projek pembinaan rumah. Memang tidak tahu dia ada niat jahat,” katanya.

Muhammad Amir berharap jasad bapanya dapat ditemui

Dalam pada itu, Muhammad Amir juga berharap agar jasad bapanya dijumpai segera.

“Kami juga akan mengadakan solat hajat agar jasad ayah segera ditemui,” ujar Muhammad Amir.

Sementara itu, seorang lagi anak Sabari juga memaklumkan bapanya seorang yang baik dan penyanyang selain murah dengan senyuman.

Terdahulu, Fisol mengesahkan kes orang hilang berkenaan telah berjaya diselesaikan dan siasatan dilanjutkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu ‘Bunuh’.

“Sehingga kini mangsa masih gagal dijumpai dan usaha mencari mangsa masih diteruskan oleh pihak PDRM dengan bantuan agensi-agensi berkaitan,” kata Fisol.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.