Tular Bawa Beg Guni Ketika Daftar Masuk Universiti, Ini Kisah Sebenar Dari Tuan Punya Badan
Rafida yang berasal dari Sandakan, Sabah menjelaskan, dia dimaklumkan oleh pihak universiti bahawa hanya dua bagasi sahaja yang dibenarkan ketika urusan pendaftaran masuk asrama.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (30 September), kami ada melaporkan kisah mengenai pelajar yang membawa beg guni ketika mendaftar masuk ke Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Kisah pelajar yang dikenali sebagai Rafida Zaiddin itu nyata menyentuh hati dan mendapat perhatian semua pihak termasuklah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Baca Artikel Berkaitan: Pelajar Bawa Beg Guni Waktu Daftar Di UMS Raih Perhatian Menteri Pendidikan
Tak Mahu Barang Tercicir, Naik Bas Selama 6 Jam Dari Sandakan
Terbaharu, Rafida tampil menceritakan kisah di sebalik beg guni yang tular di media sosial.
Jelas anak bongsu daripada dua beradik itu, dia menggunakan guni plastik berkenaan bagi memudahkan dia membawa barang peribadi dari rumahnya ke UMS.
“Saya gunakan guni plastik untuk bawa semua barang keperluan ketika pendaftaran pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi mengelak barang tercicir sebab saya naik bas selama enam jam ke universiti, tak sangka langsung ia tular di media sosial,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.
Bapa Saran Guna Beg Guni, Elak Barang Tercicir
Rafida yang berasal dari Kampung Sim-Sim Sandakan, Sabah menjelaskan, dia dimaklumkan oleh pihak universiti bahawa hanya dua bagasi sahaja yang dibenarkan ketika urusan pendaftaran masuk asrama.
“Saya menaiki bas dari Sandakan ke Kota Kinabalu selama enam jam, jadi sudah tentu banyak barang yang perlu dibawa.
“Jadi saya masukkan separuh barang dalam guni plastik kerana tiada beg besar. Jika diasingkan, saya risau barang tercicir.
“Separuh lagi barang saya masukkan dalam bagasi dan beg sandang. Bapa yang sarankan saya gunakan guni plastik ini. Saya tidak terfikir (perkara ini) menjadi tular.
“Apabila cerita ini tular, ada seorang pelajar senior datang ke bilik dan bertanya berkenaan guni plastik saya.
“Mulanya terfikir saya mungkin terbawa barang orang lain, tetapi mereka menafikannya, sebaliknya hanya mahu mendapatkan maklumat mengenai saya,” jelasnya lagi.
Menteri Pendidikan Salur RM3,000, Ada Pihak Tanya Tentang Perbelanjaan Pengajian
Ketika ditanya mengenai kandungan perbualan panggilan video bersama Fadhlina, Rafida menjelaskan Ahli Parlimen Nibong Tebal itu bertanyakan adakah perbelanjaannya mencukupi sebelum Fadhlina menghantar duit secara pemindahan dalam talian sebanyak RM3,000.
Tambah Rafida, ada pihak lain yang turut datang menemuinya bertanya sekiranya dia ada memohon biasiswa bagi menampung pengajiannya dalam jurusan perakaunan di UMS.
“Bapa saya hanya penjual buah-buahan kecil-kecilan. Saya sudah memohon Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), selain mendapat bantuan tunai pendaftaran institusi pengajian tinggi (IPT) secara ‘one-off’ (BUDI).
“Saya dimaklumkan pihak terbabit akan membantu mempercepatkan urusan permohonan biasiswa saya,” katanya.
Difahamkan, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor telahpun mengarahkan Bahagian Kebajikan dan Kewangan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS bagi membantu Rafida dan pelajar lain yang kurang berkemampuan.
Jelas beliau, UMS akan memastikan pelajar yang memerlukan bantuan terutamanya dari segi keperluan peribadi atau sokongan moral diberi perhatian sewajarnya.
Memetik Sabah Media, Rafida yang bercita-cita mahu menjadi seorang akauntan, dia tidak mahu mensia-siakan peluang ini dan mahu belajar bersungguh-sungguh.
“Ibu bapa saya sudah bekerja keras, saya mahu usaha sungguh-sungguh, tidak mahu sia-siakan peluang ini,” katanya yang dipetik daripada Sabah Media.
Baca Artikel Berkaitan: Pelajar Bawa Beg Guni Waktu Daftar Di UMS Raih Perhatian Menteri Pendidikan