Dari Melaka Ke Kedah, Lelaki Tempuh Perjalanan Lebih 600KM Guna Motosikal Teman Adik Daftar Universiti
Kisah pengorbanan pemuda yang berusia 27 tahun itu dikongsikan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi satu hantaran di Facebook rasmi mereka.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Menjejakkan kaki ke menara gading bukanlah mudah. Ia memerlukan usaha dan pengorbanan individu dalam mengecapi impian tersebut.
Apabila ada anak atau ahli keluarga yang berjaya menjejakkan kaki ke universiti, sudah pastinya ia menjadi perkara yang paling bermakna dan menggembirakan.
Ini kerana itu juga merupakan harapan dan impian kebanyakan ibu bapa atau penjaga.
Oleh sebab itu, kebanyakan daripada mereka sanggup berkorban masa, wang ringgit dan tenaga demi menghantar yang tersayang masuk ke universiti tanpa mengira halangan.
Redah Perjalanan Lebih 600 KM, Dari Melaka Ke Sintok, Kedah
Begitulah kasih dan pengorbanan seorang abang apabila sanggup meredah perjalanan lebih 600 kilometer (KM) demi menghantar dan menemani adiknya mendaftar masuk ke universiti.
Penjual buah yang dikenali sebagai Ee Tai Qing menunggang motosikal dari rumahnya yang terletak di Sungai Udang, Melaka bagi menemani adiknya, Ee Tai Zhi mendaftar masuk di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada pagi semalam (1 Oktober).
Manakala, Thai Zhi pula menaiki bas dari Melaka ke UUM yang terletak di Sintok, Kedah.
Ee Thai Zhi merupakan antara 4,195 pelajar baharu yang mendaftar masuk ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu.
Kisah pengorbanan pemuda berusia 27 itu turut dikongsikan oleh UUM menerusi satu hantaran di Facebook rasmi mereka.
“Tai Qing menaiki motosikal dari Sungai Udang, Melaka ke UUM Sintok sejak dua hari lepas.
“Pagi tadi (1 Oktober) dia tiba di Bangunan Canselori dan disantuni Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd. Foad Sakdan dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
“Adiknya Tai Zhi akan mengikuti Program Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti dan berjanji untuk memberi fokus apabila kuliah bermula,” katanya.
Menerusi balasan di ruangan komen, pihak UUM memaklumkan Tai Qing telah selamat tiba di rumahnya pada jam 10.30 malam semalam (1 Oktober).
“Alhamdulillah, adiknya baru maklumkan abangnya dah selamat sampai ke rumah di Melaka, jam 10.30 malam menaiki motosikal,” jelasnya.
Tidak Sangka Dapat Program Pengajian Yang Diminati
Dalam pada itu, Thai Zhi mendedahkan dia tidak menyangka mendapat program pengajian yang diminatinya.
“Saya tak menduga mendapat pilihan program yang saya minati dan ingin menimba pengalaman baru di Lembah Sintok.
“Saya berjanji untuk memberi tumpuan penuh dan mengambil segala ilmu yang diajar pensyarah berpengalaman,” katanya yang berusia 21 tahun itu.
ABANG HANTAR ADIK NAIKI MOTOSIKAL DARI MELAKA KE UUM Seorang pelajar baru UUM, Ee Tai Zhi bersama abangnya seorang…
Posted by Universiti Utara Malaysia (Official FB) on Monday 30 September 2024
Ramai Doa Yang Terbaik, Mohon Tidak Lupakan Abang
Hantaran UUM itu nyata menarik perhatian pengguna media sosial. Rata-rata daripada mereka tersentuh dengan pengorbanan yang dilakukan oleh Tai Qing terhadap adiknya.
Kebanyakan daripada mereka turut menasihatkan agar Thai Zhi tidak melupakan jasa abangnya dan terus cemerlang di masa hadapan.
Berikut antara komen pengguna Facebook:
“Kasih Sayang Seorang Abang Kepada Adik, Adik Bila Dah Berjaya Nanti Jangan Lupakan Abang”
“Tahniah Adik, Semoga Adik Berjaya & Cepat Mencapai Impian, Baiknya Abang Adik”
“Terbaik Abang. Dik, Belajar Bersungguh-Sungguh Tahu, Jangan Lupa Balas Jasa Baik Abang Tu”
Baca Artikel Berkaitan: “Auto Menitik Air Mata” – Pengorbanan Bapa Kayuh Basikal Hantar Anak Ke Sekolah Undang Sebak [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Awak Bertuah,” – Ramai Tersentuh Lihat Pengorbanan Bapa OKU Sanggup Guna Baju Lindung Anak Dalam Hujan [Video]