Luahan Wanita Dalam Podcast Konon Dipaksa Jadi Pelacur Kerana Hutang Ayah Hanya Rekaan – PDRM
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, wanita itu dikesan berada dalam keadaan selamat di sebuah rumah yang terletak di Seberang Perai Utara pada malam Isnin (30 September) lalu kira-kira jam 10.50 malam.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai pendedahan seorang wanita ketika sesi siaran langsung sebuah podcast (audio siar) dari Bro’s Gang TV (BGTV) di TikTok.
Melalui pendedahan yang dibuat melalui panggilan telefon, individu yang berusia 26 tahun itu mendedahkan dia dipaksa bekerja dengan sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ah long gara-gara hutang bapanya.
Dakwa wanita yang mempunyai seorang anak berusia empat tahun itu, bapanya berhutang sebanyak RM20,000 dan memberi alamat rumah di kampung selain menjadikan ibu serta adik beradiknya sebagai penjamin.
Tambahnya, dia dijadikan sebagai perempuan simpanan atau pelacur oleh ah long berkenaan sejak Februari lalu tanpa dibayar gaji dan kini berada di Pulau Pinang.
Kisah itu nyata mendapat perhatian ramai hingga ada yang risau dan meminta agar bantuan segera diberikan kepadanya. Polis kemudiannya membuka kertas siasatan berhubung dakwaan tersebut.
Polis membuka kertas siasatan seorang wanita mendakwa dijadikan perempuan simpanan sindiket pinjaman wang atau along, bagi melunaskan hutang bapanya – CPO Pulau Pinang pic.twitter.com/xGHmjLqlKe
— #UpdateInfo🇲🇾🌍 (@update11111) September 30, 2024
Kisah Hanya Rekaan, Buat Panggilan Hanya Sekadar Luahan Perasaan
Terbaharu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad mendedahkan kisah dan pendedahan wanita yang dipaksa menjadi pelacur oleh bapanya dalam siaran audio siar itu hanyalah rekaan semata-mata.
Jelasnya, wanita berkenaan didapati berbuat demikian hanya kerana ingin meluahkan perasaan.
Tambah Hamzah, individu terbabit dikesan berada dalam keadaan selamat di sebuah rumah yang terletak di Seberang Perai Utara (SPU) pada malam Isnin (30 September) lalu kira-kira jam 10.50 malam.
“Pada semalam, kira-kira jam 3 petang, satu laporan polis telah dibuat berkaitan video berdurasi 18 minit 31 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok bernama @m.ikhwan_amin_007.
“Semakan mendapati satu laporan polis turut dibuat oleh pengendali audio siar tersebut berkaitan panggilan telefon yang diterima,” katanya.
Polis Berjaya Kesan Wanita Di Seberang Perai Utara
Susulan itu, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Pulau Pinang dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Timur Laut telah berjaya mengesan wanita terbabit.
“Wanita itu ditemui dalam keadaan selamat di sebuah rumah di SPU. Hasil soal siasat yang dijalankan mendapati dia telah menghubungi program audio siar tersebut pada 26 Julai lalu.
“Kejadian yang didakwa iaitu dia dipaksa bekerja tanpa gaji oleh along di ‘rumah merah’ adalah tidak benar dan tidak pernah berlaku. Wanita itu telah mereka cerita kejadian tersebut sekadar untuk meluahkan perasaan,” jelasnya lagi.
Rupanya Ada Buat Pinjaman Dari Syarikat Pinjaman Wang
Jelas Hamzah lagi, wanita berkenaan mengakui ada membuat pinjaman wang dengan beberapa buah syarikat pinjaman wang.
Namun, dia menerima ugutan daripada syarikat terbabit kerana gagal membayar hutang tersebut.
“Menurut wanita itu, ibunya yang tinggal di kampung turut menerima ugutan. Kes disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. Ia memperuntukkan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan denda RM1,000 satu ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan,” katanya lagi.
Orang Ramai Dinasihat Tidak Mudah Percaya & Semak Kesahihan Maklumat
Pada masa yang sama, Hamzah turut menasihati orang ramai agar tidak mudah mempercayai dan menyebarkan apa yang ditonton di platform media sosial tanpa menyemak kesahihannya terlebih dahulu.
“Penyebaran berita-berita palsu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Pihak polis turut menasihati orang ramai agar membuat laporan polis sekiranya diganggu atau menerima ugutan daripada along untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
𝗦𝗜𝗔𝗥𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗗𝗜𝗔 𝗞𝗘𝗧𝗨𝗔 𝗣𝗢𝗟𝗜𝗦 𝗣𝗨𝗟𝗔𝗨 𝗣𝗜𝗡𝗔𝗡𝗚 “𝗞𝗟𝗜𝗣 𝗩𝗜𝗗𝗘𝗢 𝗧𝗨𝗟𝗔𝗥 𝗗𝗜 𝗟𝗔𝗠𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗗𝗜𝗔 𝗦𝗢𝗦𝗜𝗔𝗟 𝗠𝗔𝗡𝗚𝗦𝗔 𝗠𝗘𝗡𝗗𝗔𝗞𝗪𝗔 𝗗𝗜𝗝𝗔𝗗𝗜𝗞𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗥𝗘𝗠𝗣𝗨𝗔𝗡 𝗦𝗜𝗠𝗣𝗔𝗡𝗔𝗡 𝗕𝗔𝗚𝗜 𝗠𝗘𝗟𝗔𝗡𝗚𝗦𝗔𝗜𝗞𝗔𝗡 𝗛𝗨𝗧𝗔𝗡𝗚 𝗕𝗔𝗣𝗔”
Posted by PDRM Pulau Pinang on Tuesday 1 October 2024
Baca Artikel Berkaitan: Selepas Teruk Dikecam, Bros Gang TV Mengaku Video Curang RM20,000 Hanyalah Lakonan Semula
Baca Artikel Berkaitan: “Kenapa Glorify Orang Takda Moral?” – Ramai Kecam Tindakan YouTuber Jemput Hot Daddy Dalam Podcast