
JAIS Dedah Ada Ahli GISBH Percaya Abuya Tidak Mati, Mayat Terapung Diangkat Allah
Pengarah JAIS turut menegaskan pihaknya telah dan sedang bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta agensi berkepentingan lain bagi mengenal pasti salasilah sebahagian besar daripada 435 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Walaupun telah hampir sebulan berlalu, isu yang membabitkan organisasi atau syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) masih hangat lagi diperkatakan hingga kini.
Boleh dikatakan, ada sahaja pendedahan oleh pihak berkuasa mengenai aktiviti atau kegiatan GISBH atau Ikhwan berkenaan yang kebanyakannya melibatkan amalan dan kepercayaan serta eksploitasi kanak-kanak.
JAIS Dedah Wujud Fakta Amalan & Kepercayaan Suspek Bercanggah Dengan Fatwa
Terbaharu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendedahkan pihaknya telah melakukan tangkapan terhadap 108 individu yang disyaki terlibat dengan GISBH.
Menurut Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad, kesemua suspek yang ditahan terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah syariah meliputi akidah, pungutan khairat tanpa kebenaran dan perkahwinan.
Jelasnya, hasil siasatan mendapati wujud beberapa fakta mengenai amalan dan kepercayaan suspek bercanggah dengan fatwa yang dikuatkuasakan.
“Ini termasuklah amalan mempercayai beberapa perkara yang dikaitkan dengan pimpinan adalah sesuatu yang memberikan keberkatan kepada ahli dan membolehkan ahli masuk syurga.
“Mereka juga mengamalkan Aurad Muhammadiah dengan percaya Abuya tidak mati dan berada di alam ghaib serta mayat Abuya terapung kerana Allah angkat Abuya.
“Seterusnya mempercayai Rasulullah SAW atau Abuya hadir dalam majlis-majlis tertentu anjuran kumpulan,” katanya.
Perkahwinan & Penceraian Diatur Oleh Pemimpin, Akad Perkahwinan Ikut Cara Pemimpin
Tambah Shahzihan lagi, hasil siasatan mendapati perkahwinan dan penceraian diatur oleh pemimpin kumpulan. Malah, akad perkahwinan juga ditentukan dengan cara ditentukan oleh pemimpin.
“Dapatan siasatan juga menunjukkan perkahwinan tidak dapat dibuktikan dengan keterangan dokumen yang sah dan perkahwinan antara anak dara dan teruna tanpa kebenaran Pendaftar Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor serta poligami yang dibuat tanpa kebenaran Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa,” jelasnya.
Keadaan Boleh Sebabkan Kecelaruan Nasab
Tegas Shahzihan, situasi dan keadaan tersebut boleh menyebabkan berlakunya kecelaruan dalam penentuan nasab, status perkahwinan dan dokumentasi perkahwinan ibu bapa kanak-kanak (mangsa).
“Perkara ini dijangka memberi kesan terhadap kanak-kanak yang telah diselamatkan sebelum ini apabila mereka menginjak ke alam remaja dan dewasa kelak.
“Tidak mustahil keadaan ini berpotensi besar akan menjejaskan penentuan nasab dan memungkinkan berlakunya pernikahan yang fasid dan wati’ syubhah,” tulisnya lagi.
Pada masa yang sama, Shahzihan menegaskan JAIS telah dan sedang bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta agensi berkepentingan lain bagi mengenal pasti salasilah sebahagian besar daripada 435 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global.
“Selain itu, siri tangkapan juga dijangka akan berterusan melibatkan suspek-suspek yang disyaki dan telah dikenalpasti berdasarkan risikan, aduan dan maklumat yang diterima oleh pihak JAIS,” katanya.
𝐉𝐀𝐈𝐒 𝐓𝐀𝐍𝐆𝐊𝐀𝐏 𝟏𝟎𝟖 𝐈𝐍𝐃𝐈𝐕𝐈𝐃𝐔 𝐃𝐈𝐒𝐘𝐀𝐊𝐈 𝐀𝐇𝐋𝐈 𝐆𝐈𝐒𝐁𝐇 SHAH ALAM, 2 Oktober 2024 – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sehingga…
Posted by Jabatan Agama Islam Selangor – Rasmi on Wednesday 2 October 2024
Baca Artikel Berkaitan: Intipati Khutbah Jumaat Di WP Sentuh Isu Ajaran Sesat & Selangor Kes Eksploitasi Kanak-kanak Babit GISBH [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Isytihar Ajaran GISBH Sebagai Sesat
Baca Artikel Berkaitan: “Memang Liwat Itu Ada, Tapi Satu Dua Kes, Kenapa Dirangkumkan Semua? – Pemimpin GISBH [Video]