Kerajaan Perlu Kreatif Cari Jalan Beri Pendidikan Murah & Percuma – Timbalan Presiden PAS
Menurut Tuan Ibrahim, mengukur pendidikan dengan nilai wang ringgit merupakan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebelum ini, kerajaan seakan memberi bayangan akan menghentikan pemberian subsidi dalam sektor pendidikan kepada anak golongan kaya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara menjadi keutamaan dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan 18 Oktober ini.
Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Beri Bayangan Akan Henti Subsidi Pendidikan Buat Anak Orang Kaya
Kerajaan perlu lebih kreatif cari jalan tawarkan sistem pendidikan murah & percuma
Terbaharu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan kerajaan perlulah lebih kreatif untuk mencari jalan menawarkan sistem pendidikan yang boleh dinikmati rakyat secara murah atau percuma.
Menurutnya, kerajaan boleh melihat kepada model sistem pendidikan dan universiti yang dibiayai melalui sistem waqaf seperti dilakukan oleh Universiti Al-Azhar di Mesir atau universiti lain di dunia satu masa dahulu.
“Melalui sistem ini, pelajar miskin dibiayai melalui bantuan pendidikan serta biasiswa atau beberapa pengecualian bayaran yuran pengajian.
“Isu pendidikan tidak sepatutnya dilihat sebagai bebanan kerana ia merupakan tanggungjawab negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook semalam (2 Oktober).
Kerajaan tak patut ukur pendidikan dengan nilai wang ringgit
Menurutnya lagi, mengukur pendidikan dengan nilai wang ringgit merupakan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
“Tidak hairan terdapat golongan miskin menghantar anak-anak ke institusi pendidikan terbaik sama ada dalam atau luar negara walaupun mereka terpaksa mengerah keringat untuk membayar yuran yang mahal.
“Ini semua tidak lain dan tidak bukan demi masa depan anak-anak mereka,” katanya.
Cadangan kenakan bayaran pendidikan kepada anak-anak orang kaya perlu dipertimbangkan
Ujar Tuan Ibrahim, cadangan untuk mengenakan bayaran pendidikan mahal kepada anak-anak golongan kaya perlu dipertimbangkan.
Jelasnya, kenyataan itu tidak bermaksud dia ingin menyebelahi golongan tersebut dan menidakkan usaha membantu golongan miskin kerana kedua-duanya adalah rakyat yang perlu disantuni kerajaan.
“Isu pemberian dana pendidikan kepada rakyat sama ada kaya dan miskin tidak seharusnya dilihat dari perspektif ekonomi sahaja, sebaliknya juga perlu melihat sumbangan mereka terhadap pendapatan negara dan imbangan sumbangan.
“Umum mengetahui lebih besar pendapatan individu maka lebih besar zakat dan cukai yang dikenakan, seperti peribahasa Melayu ‘besar periuk besarlah kerak’,” ujarnya lagi.
Kerajaan patut bimbang masalah pelajar lepasan SPM tak nak sambung belajar
Berkongsi lanjut, Tuan Ibrahim berkata kerajaan sepatutnya bimbang akan pertambahan jumah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berminat menyambung pengajian dan memilih untuk bekerja dalam sektor ekonomi gig atau perkilangan.
Katanya, perkara itu akan menyebabkan negara terdedah terhadap risiko kehilangan tenaga kerja mahir pada masa akan datang.
“Oleh itu, kerajaan harus terus memberi galakan dan bantuan pelajar cemerlang tanpa mengira status pendapatan keluarga mereka,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: 29,000 Graduan Menganggur Selepas 6 Bulan Tamat Pengajian Pada Tahun 2022 – Menteri Pendidikan Tinggi