Banjir Kilat Di Selangor: 1,968 Mangsa Ditempatkan Di PPS
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras menjelaskan kejadian banjir kilat kali ini lebih buruk dan merupakan kali ketiga yang berlaku pada tahun 2024.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Dalam minggu ini, boleh dikatakan hampir setiap hari, beberapa kawasan di Malaysia mengalami cuaca hujan lebat dan ribut petir pada waktu petang.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam (3 Oktober), sebanyak 11 negeri termasuk Sabah dan Sarawak dijangka berdepan rebut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 9 malam.
Cuaca buruk yang berterusan boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk di mana ia boleh menjadi punca berlakunya banjir kilat.
Beberapa Kawasan Di Selangor Termasuk Sungai Buloh Dilanda Banjir Kilat
Terbaharu, beberapa kawasan di Selangor antaranya Sungai Buloh, Batu Caves dan Puncak Alam dilanda banjir kilat semalam akibat hujan lebat.
Sebagai contoh di Sungai Buloh, Paya Jaras, Kampung Melayu Subang, Merbau Sempak dan beberapa kawasan rendah yang lain menjadi antara kawasan yang terjejas.
Malah, dapat dilihat beberapa rakaman video tular di media sosial memaparkan kejadian bajir kilat hingga menyebabkan beberapa laluan ditutup serta berlakunya kesesakan jalan raya yang teruk.
Ada juga kawasan yang terputus hubungan dan hanya boleh masuk menggunakan bot.
MB Selangor Lawat Mangsa Banjir
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari turut dilihat turun padang melawat kawasan yang terjejas akibat banjir kilat.
Menerusi satu ciapan di X, Amiruddin berkata beliau telah mengarahkan agar pihak MPS, serta sukarelawan Team Selangor dan SERVE segera membantu proses pembersihan.
“Selain itu, saya telah mengarahkan agar Pejabat Daerah dan Tanah Gombak untuk melihat keperluan membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk mangsa sekiranya air masih belum surut,” ciapnya.
Sebaik menerima berita beberapa kawasan di DUN Sungai Tua mengalami banjir kilat, saya telah bergegas malam tadi dan turun melawat kawasan yang terlibat.
— Amirudin Shari (@AmirudinShari) October 4, 2024
Saya telah mengarahkan agar pihak MPS, serta sukarelawan Team Selangor dan SERVE segera membantu proses pembersihan. Selain… pic.twitter.com/hjLGfQ8Xfu
ADUN Paya Jaras Sifatkan Kejadian Banjir Kali Ini Lebih Buruk, Ban Pecah Jadi Punca
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Dr Ab Halim Tamuri, turut mengesahkan beberapa perumahan di tempatnya terkesan akibat banjir.
“Saya dan pasukan Pusat Khidmat bergerak ke Jalan Rahidin 1, Kampung Paya Jaras Dalam untuk ziarah ke kawasan terkesan banjir kilat iaitu di Lot 4 sehingga Lot 10,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Ab Halim turut menyifatkan kejadian banjir kilat kali ini lebih buruk dan merupakan kali ketiga yang berlaku pada tahun 2024.
“Punca utama berlakunya banjir disebabkan oleh ban Sungai Buloh berdekatan kawasan tersebut telah pecah kerana arus deras,” katanya lagi.
10 Kawasan Sekitar Selangor Alami Banjir Kilat
Dalam pada itu, Exco Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Najwan Halimi memaklumkan sebanyak 10 kawasan banjir kilat telah dikesan berlaku di beberapa kawasan bermula jam 4 petang semalam.
Jelasnya, sehingga jam 8 malam, dua daerah di Selangor terjejas iaitu Petaling dan Gombak.
“Sebanyak dua kawasan di Petaling iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Melayu Subang dan Kampung Gajah.
“Bagi Gombak pula membabitkan kawasan Taman Tun Perak, Rawang, Jalan 23 Kampung Selayang Baru, Pangsapuri Prima Selayang, Kampung Kepong Ulu, Kampung Laksamana, Kampung Sungai Kertas, Kampung Arab dan Kampung Melayu Sri Kundang,” jelasnya.
Memetik Kosmo, sebanyak 1,968 mangsa banjir di seluruh Selangor telah dipindahkan ke enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar kesemua mangsa adalah dari daerah Shah Alam, Gombak dan Kuala Selangor.
Enam PPS yang dibuka di negeri ini melibatkan
- Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seri Pagi, Paya Jaras
- Dewan MBSA Kenanga
- Dewan MBSA Bunga Matahari
- Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Seri Kundang
- Sekolah Rendah Agama Kuang
- Sekolah Kebangsaan Desa Aman
Untuk info, anda boleh mendapatkan maklumat tentang amaran dan amalan banjir, kenaikan aras sungai di kawasan sekitar atau kadar lebat hujan, anda boleh melayari laman web rasmi Public Info Banjir.
Buat pengguna telefon pintar, anda juga boleh memuat turun aplikasi MyPublicInfoBanjir melalui Google PlayStore bagi pengguna Android dan Apple Store buat pengguna iOS.
Baca Artikel Berkaitan: Ini Tips & Persediaan Penting Ketika Berdepan Gelombang Banjir
Baca Artikel Berkaitan: Cubaan Lelaki Selamatkan Motosikal Ketika Banjir Di Melaka Undang Perhatian [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Selangor, Negeri Sembilan & Melaka Dilanda Banjir Akibat Hujan Lebat [Video]