Sebelum ini, tular satu video di media sosial memaparkan tindakan seorang lelaki yang juga pemandu kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih telah memukul dua orang lelaki yang menaiki kereta Axia menggunakan kunci stereng.
Menerusi video yang tular di X, awalnya kelihatan pemandu Myvi itu menolak seorang lelaki sebelum menghayunkan kunci stereng untuk memukul mereka.
Selepas bertengkar beberapa ketika, mereka kemudian dilihat memasuki ke kenderaan masing-masing.
Polis cekup pelajar pukul 2 lelaki dengan kunci stereng
Terbaharu, polis telah menahan lelaki yang menaiki kereta Myvi tersebut, semalam (3 Oktober).
Memetik laporan Kosmo, insiden berkenaan berlaku sekitar jam 11.50 pagi di Jalan Air Itam menuju ke pekan Dengkil.
Lelaki yang memukul dua individu itu merupakan seorang pelajar yang berusia 20 tahun di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS).
Jelas pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Shan Gopal Krishnan pelajar berkenaan telah ditahan petang, semalam selepas mangsa membuat laporan pada tengah hari.
Pergaduhan berpunca kerana tak puas hati
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati pergaduhan antara pelajar dan juga mangsa berlaku disebabkan rasa tidak puas hati semasa melalui jalan berkenaan.
“Kejadian ini telah dirakam oleh orang awam sebelum ditularkan di media sosial. Siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa cedera di kepala dan tangan akibat dipukul menggunakan kunci stereng,” ujarnya.
Pihak polis juga merampas seunit kunci sterang yang digunakan oleh lelaki terbabit sebagai senjata mencederakan mangsa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.