
Penggunaan MyDigital ID Pada MyJPJ Ditangguh Bukan Dibatalkan – CEO MyDigital ID
Menurut CEO MyDigital ID Sdn Bhd, beberapa laporan media telah salah memetik kenyataan Loke sehingga menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan orang awam.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, kecoh di media sosial luahan orang ramai yang kecewa selepas aplikasi MyJPJ mengeluarkan pemberitahuan secara ‘pop-up’ bahawa pengguna perlu log masuk menggunakan MyDigital ID bermula 10 Oktober ini.
Namun, tidak lama kemudiannya, Kementerian Pengangkutan (MOT) dilaporkan membatalkan pula syarat berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, syarat log masuk itu telah digugurkan dan pihaknya telah mengarahkan supaya pesanan ‘pop-up’ mengenai arahan log masuk itu diturunkan serta merta pada 2 Oktober lalu.
Penggunaan MyDigital ID dengan aplikasi MyJPJ bukan batal, tapi tangguh
Terbaharu, Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID Sdn Bhd, Mohd Mirza Mohd Noor hari ini (4 Oktober) menjelaskan bahawa integrasi penggunaan MyDigital ID dengan aplikasi MyJPJ bukanlah dibatalkan sebaliknya hanya ditangguhkan.
Menurutnya, beberapa laporan media telah salah memetik kenyataan Loke sehingga menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan orang awam.
Ujar Mohd Mirza, langkah itu tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai pembatalan, sebaliknya sebahagian daripada strategi menyeluruh untuk memastikan kejayaan ciri log tunggal dan meningkatkan pengalaman pengguna.
“Menteri (Loke) hanya umumkan penangguhan pelaksanaan ciri log tunggal yang membolehkan pengguna log masuk dengan satu akaun sahaja.
“Sepanjang tempoh penangguhan ini, pengguna masih boleh memilih untuk menggunakan log masuk MyJPJ sedia ada atau MyDigital ID untuk mengakses aplikasi tersebut,” katanya dipetik Harian Metro.
Anthony Loke jelaskan arahan yang muncul bukan pengumuman rasmi MOT atau JPJ
Terdahulu, Loke menyatakan pengguna aplikasi MyJPJ boleh mendaftar masuk aplikasi itu seperti biasa dan arahan pada ‘pop-up’ yang muncul tersebut bukanlah pengumuman rasmi daripada MOT atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Tambah Loke, meskipun MOT menyokong pengguna MyDigital ID, namun proses pengintegrasian dengan aplikasi MyJPJ perlu dibuat secara ‘back-end’.
Baca Artikel Berkaitan: Pengguna Perlukan MyDigital ID Untuk Log Masuk Aplikasi MyJPJ Bermula 10 Oktober
Baca Artikel Berkaitan: