Imam Maut, Kereta Dipandu Terbalik Selepas Ziarah Isteri Baru Bersalin Di Hospital
Ketika kejadian Imam masjid yang dikenali sebagai Ustaz Nurul Kamal Zulkarnain sedang dalam perjalanan pulang untuk mengambil anak lain di sekolah selepas menziarah isterinya yang baru bersalin anak ketiga mereka.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru sehari menyambut orang baharu dalam keluarga, seorang imam Masjid As Siddiq Seri Iskandar, Ustaz Nurul Kamal Zulkarnain dilaporkan meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terbalik, semalam (8 Oktober).
Kenderaan SUV itu yang dipandu oleh imam berkenaan dilaporkan terbalik di KM211.8 Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) arah Utara, berhampiran Sitiawan, Perak.
Merupakan Guru Takmir di AADK Seri Iskandar, kemalangan selepas lawat isteri baru bersalin
Selain menjadi imam masjid, mangsa yang berusia 37 tahun itu juga merupakan Guru Takmir Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Seri Iskandar.
Turut difahamkan, isteri kepada mangsa baru sahaja bersalin di Hospital Seri Manjung.
Lebih memilukan insiden itu dilaporkan berlaku selepas imam berkenaan melawat isterinya di hospital dan ketika itu dalam perjalanan untuk balik ke Seri Iskandar untuk menjemput anak yang lain pulang dari sekolah.
Meninggal dunia di tempat kejadian
Jelas Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad anggota bomba dari Sitiawan telah diarah ke lokasi insiden selepas menerima panggilan berhubung kemalangan pada jam 4.35 petang, semalam.
“Kemalangan membabitkan sebuah Perodua Kembara terbabas ke kawasan ladang kelapa sawit di tepi Lebuhraya WCE.
“Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas dan mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya, dipetik Harian Metro.
Operasi menyelamatkan mangsa turut membabitkan seramai lapan anggota bomba dan tamat pada jam 5.37 petang.
Isteri lahirkan anak ketiga pada 7 Oktober
Memetik laporan Sinar Harian, isteri mangsa yang dikenali sebagai Nur Firdaus Salwa Mohd Zamrin melahirkan anak ketiga mereka pada 7 Oktober.
Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas insiden yang menimpa imam berkenaan.
“Dengan rasa penuh dukacita saya menzahirkan ucapan takziah yang mendalam kepada seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian beliau yang terlibat dalam kemalangan di lebuh raya WCE pada petang tadi.
“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat masyarakat setempat kerana beliau dikenali sebagai insan yang berwibawa dalam memimpin serta membimbing umat Islam terutamanya melalui peranannya sebagai imam masjid
“Jasanya dalam mendidik dan menyumbang kepada pembangunan rohani masyarakat amat dihargai dan akan dikenang selamanya,” ucapnya.