“Bukan Saya Suruh Pun” – Video Pelajar Puji Guru Melampau, Syeikh Zainul Asri Tampil Beri Penjelasan
Menurut Syeikh Muhd. Zainul Asri, video tular berkenaan adalah video lama ketika sambutan hari lahir dirinya oleh anak muridnya pada tahun 2020 yang lalu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan sekumpulan pelajar yang didakwa memuji guru mereka iaitu, pendakwah terkenal, Syeikh Muhd. Zainul Asri Mohd. Romli secara berlebihan semasa berqasidah.
Berdasarkan video sohor berkenaan, kedengaran jelas para pelajar tersebut menyebut bait ‘Ya Syaikhana’ yang dipercayai merujuk kepada Syeikh Muhd. Zainul Asri.
Perkara tersebut hangat diperkatakan oleh orang ramai sehingga meraih perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Syeikh Muhd. Zainul Asri tampil beri penjelasan, dakwa difitnah
Hari ini (10 Oktober), Syeikh Muhd. Zainul Asri menerusi satu hantaran video di akaun Facebook miliknya tampil menjelaskan tentang kontroversi tersebut.
Menurutnya, video tular berkenaan adalah video lama ketika sambutan hari lahir dirinya oleh anak muridnya pada tahun 2020 yang lalu.
Anak murid alun qasidah puji nama di luar pengetahuannya
Katanya, tindakan anak muridnya mengalunkan qasidah memuji namanya itu juga adalah di luar pengetahuan, malah bukanlah permintaannya.
“Ini timbul isu baharu, video empat tahun lepas iaitu 2020. Hari itu sanah helwah (hari lahir) saya pun bukan mahu sangat orang sambut-sambut pun.
“Oleh kerana anak murid nak buat, kita nak kata tidak kasihan depa nak rai nak buat surprise (kejutan). Duduk tak duduk Iqbal ketua depa qasidah, ya sheikhana. Saya sebenarnya tak cakna sangat kalimat itu qasidah qasidahlah.
“Tengok-tengok Ya Sheikhana Zainul Asri. Lepas itu dalam lagu pula, bukan saya suruh pun. Takkan saya nak nak suruh pula, hang sebutlah nanti Syeikh Zainul Asri tau. Teruk sangat tu bukan pesen (tabiat) saya macam itu,” katanya.
Kesal dengan tindakan pihak terlibat tularkan video hingga undang fitnah
Beliau turut menzahirkan rasa kesal dengan tindakan pihak terlibat yang menularkan video tersebut sehingga mengundang fitnah ke atas dirinya.
“Teruk sangat tu. Kawan tu kalau saya tak maaf mampus dia, jenuh dia. Buat fitnah. Nabi SAW bersabda, fitnah itu tidur dan Allah melaknat sesiapa yang cuba menggerakkan dia.
“Yang tidak ada ilmu mungkin depa nak pegu (padankan) dengan GISB kot atau nak bunuh karakter. Itu bukan akhlak Islam, yang ulas (komen) itu lagi teruk melampau-lampau pula. Khawriqul adah saya bukan wali pun. Ulama pun bukan, tambahlah wali. Hujan pun basah,” katanya.
JAKIM hubungi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah & Jabatan Mufti Negeri Kedah
Terdahulu, JAKIM telah menghubungi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan Jabatan Mufti Negeri Kedah bagi tindakan susulan dalam menyelesaikan isu terbabit.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya berharap agar kenyataan yang dikeluarkan dapat meredakan isu dan tidak menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
“JAKIM juga dari semasa ke semasa sentiasa memberikan penjelasan kepada masyarakat Islam berkaitan kefahaman akidah yang sahih berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah selari dengan saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Tular Dakwaan Pelajar Puji Guru Melampau, JAKIM Sudah Siapkan Laporan Lengkap