fbpx
Now Reading
“Mengapa Diberi Sambutan Hangat?” – Saifuddin Persoal Sambutan Luar Biasa Terhadap Krew Kapal Tentera Laut China

“Mengapa Diberi Sambutan Hangat?” – Saifuddin Persoal Sambutan Luar Biasa Terhadap Krew Kapal Tentera Laut China

Menurut Pengerusi Biro Antarabangsa Bersatu itu, kerajaan perlu lebih sensitif dalam mengendalikan sesuatu majlis agar tidak menimbulkan kemarahan rakyat.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam (9 Oktober), tular di media sosial video mengenai sebuah program yang diadakan di Swettenham Pier Cruise Terminal, George Town, Pulau Pinang.

Apa yang menjadi perhatian adalah program berkenaan dihadiri oleh individu yang berpakaian uniform berwarna putih dipercayai tentera laut dari China yang dikenali sebagai Chinese People Liberation (PLA).

Keadaan itu menimbulkan persoalan ramai hingga ada yang meluahkan rasa bimbang melihat keberadaan mereka dalam majlis rasmi tersebut.

Namun, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Wong Hon Wai menjelaskan hantaran yang tular itu merupakan kunjungan silaturahim dua kapal latihan dari China bersama pelajar Naval University of China yang dibuat mengikut saluran rasmi.

Malah, kunjungan tersebut dihadiri oleh Pegawai Residen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pulau Pinang serta beberapa pemimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan orang kenamaan.

Wong turut memohon orang ramai untuk berhenti membuat sebarang spekulasi dan andaian yang boleh mengganggu-gugat masyarakat.

Baca Artikel Berkaitan: Tular Video Tentera Laut China Dalam Sebuah Program Di Pulau Pinang, Ini Penjelasan Exco Negeri

Saifuddin Persoal Sambutan Meriah Kapal Tentera Laut China

Walau bagaimanapun, sambutan meriah terhadap dua kapal tentera China yang berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang itu disifatkan sebagai ‘tidak masuk akal’ oleh sesetengah pihak terutama ketika perairan Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak diceroboh aset berkenaan.

Menurut Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah, kerajaan perlu lebih sensitif dalam mengendalikan sesuatu majlis agar tidak menimbulkan kemarahan rakyat.

“Mengapa sambut meriah kapal tentera laut China? Adakah Kementerian Luar Negeri dirujuk terlebih dahulu? Adakah ini keputusan Kementerian Pertahanan?

“Mengapa mereka diberi sambutan begitu hangat? Mengapa mereka diizinkan melawat ke sekolah? Mengapa sekolah (Sekolah Menengah Chung Ling) itu yang dipilih?

“Kerajaan perlu lebih sensitif dan peka terhadap perasaan rakyat tatkala kita sering dimaklumkan oleh media mengenai pencerobohan aset-aset China di dalam perairan kita berhampiran Sabah dan Sarawak termasuk protes diterima Petronas berkaitan kerja-kerjanya di Kasawari,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan Harus Lebih Peka, Anggap Ia Bukan Satu Kesilapan Mutlak

Saifuddin yang juga bekas Menteri Luar menjelaskan apa yang lebih menimbulkan kerisauan ramai apabila kerajaan masih belum mencari penyelesaian terutama isu mengenai kemasukan warga China ke negara ini yang sebahagiannya sukar dikesan.

“Ini berkait rapat dengan keselamatan, kedaulatan dan jati diri kita. Saya harap Kementerian Pertahanan, kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan penjelasan tentang perkara ini,” jelasnya.

Pada masa yang sama, dia yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota mengakui keadaan itu bukanlah satu kesilapan mutlak kerana sebelum ini kerajaan pernah mengizinkan banyak kapal tentera laut asing untuk berlabuh namun kesemuanya mengikut prosedur.

“Tujuan mereka berlabuh ialah untuk mendapatkan bekalan makanan dan sebagainya. Pegawai dan anggotanya diizinkan mendarat, pasportnya dicop dan sebagainya.

“Terdapat protokol yang lazim digunakan oleh negara-negara di dunia termasuk apabila kapal TLDM berlabuh di pelabuhan negara asing,” katanya lagi.

Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini mengumumkan kedatangan 1,000 pelatih Tentera Laut China yang menaiki dua buah kapal iaitu Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang, China.

Kesemua pelatih itu dibawa melawat beberapa tempat menarik di Pulau Pinang selain berinteraksi dengan penduduk tempatan ketika kunjungan berkenaan.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.