fbpx
Now Reading
Anak Abuya, Khaulah Ashaari Nafi GISBH Amalkan Aurad Muhammadiyah Seperti Al-Arqam

Anak Abuya, Khaulah Ashaari Nafi GISBH Amalkan Aurad Muhammadiyah Seperti Al-Arqam

Khaulah Ashaari menjelaskan bahawa ahli GISBH tidak lagi mengamalkan apa-apa ajaran yang dikatakan sesat, termasuk fahaman Aurad Muhammadiyah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) kini menjadi perbualan hangat masyarakat susulan serbuan di premis rumah amalnya yang menyaksikan 402 kanak-kanak diselamatkan.

Sehubungan itu, seorang guru yang juga warden di rumah amal GISBH telah dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun atas kesalahan mendera kanak-kanak.

Bukan itu sahaja, GISBH juga sering terkait dengan ajaran sesat yang mungkin timbul kerana ia diasaskan daripada sisa-sisa Kumpulan Arqam, iaitu cabang perniagaan gerakan Al-Arqam. Al-Arqam sebelum itu telah diasaskan oleh Allahyarham Ashaari Muhammad.

Baca Artikel Berkaitan: Dera 3 Kanak-Kanak Di Rumah Amal GISBH, Cikgu Dipenjara 10 Tahun

Baca Artikel Berkaitan: Sering Dikait Dengan Kumpulan Al-Arqam, Ini Sejarah Penubuhan GISBH

“GISBH Tak Ikut Amalam Al-Arqam” – Anak Pengasas Al-Arqam

Terbaharu, anak perempuan Ashaari, Khaulah Ashaari, menegaskan bahawa GISBH tidak lagi mengikut amalan al-Arqam yang telah diisytihar sesat.

Sebagai info, Al-Arqam telah diisytiharkan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994. Malah pengasasnya sebelum ini pernah ditahan selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Khaulah yang merupakan pengarah salah sebuah anak syarikat GISBH turut menjelaskan dalam sidang media di Shah Alam hari ini (14 Oktober) bahawa ahli kumpulan tersebut tidak mengamalkan fahaman Aurad Muhammadiyah.

“Berkait amalan yang dikatakan, memang GISBH konsisten untuk tidak lagi mengamalkan apa-apa ajaran yang dikatakan sesat atau salah. Mungkin ada juga tahu kita sentiasa mengikuti kursus pihak berkuasa termasuk jabatan agama Islam.

“Kami juga mengikuti proses istitabah (bertaubat), telah pun beri komitmen untuk tidak lagi amalkan apa-apa yang (diambil) dari zaman Arqam setelah itu,” katanya dipetik MalaysiaKini.

GISBH Sentiasa Dipantau Jabatan Agama

Dalam pada itu, Khaulah turut menjawab soalan berkenaan sekumpulan kecil ahli GISBH yang didapati mengamalkan ajaran sesat.

“Kalau itu saya tak tahu. Tapi, secara dasarnya selalu berbincang dan kami sentiasa dipantau oleh pihak jabatan agama untuk pastikan tidak berlaku lagi amalan-amalan sebegitu,” katanya.

Katanya, Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Nasiruddin Mohd Ali sebelum ini menasihati ahli kumpulan agar sentiasa mengikut fatwa yang ditetapkan.

“Dia berkata kita jangan mengulangi lagi sebab kita betul-betul fokus kepada perniagaan,” katanya.

Sumber gambar: GISBH/ Facebook

“Sekolah Agama GISBH Ikut Silibus JAIS” – Khaulah Ashaari

Di samping itu, Khaulah turut mengulas isu silibus pelajaran di sekolah agama di bawah GISBH.

Dia berkata silibus yang digunakan di sekolah-sekolah tersebut adalah berpandukan silibus yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Dalam masa sama, kami juga sentiasa dipantau oleh jabatan agama selepas mengikuti kursus selama 500 jam dan kami juga dipantau untuk dipastikan tidak ada pengulangan amalan begitu (Al-Arqam),” tegasnya.

“Video Agungkan Abuya Video Lama” – Khaulah Ashaari

Apabila ditanya mengenai video tular yang menyaksikan ahli GISBH mengagungkan Ashaari, Khaulah menjelaskan bahawa ia sebenarnya video lama, kemungkinan dirakamkan pada tahun 2011, yang ditularkan semula.

Dia juga mengulas ringkas mengenai dakwaan eksploitasi kanak-kanak di rumah amal milik GISBH, “Berkenaan dengan eksploitasi kanak-kanak, saya tidak boleh komen kerana kes masih dalam siasatan.”

Melaka Negeri Ke-4 Isytihar GISBH Sesat

Dalam perkembangan lain, Melaka hari ini (14 Oktober) mengisytiharkan GISBH sebagai sesat. Ini menjadikannya negeri keempat melakukan sedemikian selepas Perlis, Selangor dan Pahang.

Menurut Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil, terdapat amalan persamaan antara GISBH dan ajaran Al-Arqam. Perkara itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri pada 3 Oktober lalu dan kini dalam proses untuk dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Seterusnya perkara itu akan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bahawa GISBH adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan hukum syarak.

“Kita melihat ada beberapa perkara iaitu dalam elemen GISBH dan mungkin ada beberapa elemen lain ada juga serpihan-serpihan daripada kumpulan Al-Arqam khususnya daripada keluarga Ashaari Muhammad.

“Ada juga persamaan ciri-ciri yang dipegang oleh pengikut-pengikut bekas Al-Arqam dan Rufaqa,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: GISBH Diisytihar Sebagai Ajaran Sesat – Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.