
Nahas UiTM Dungun: Suami Pemandu CR-V Bersyukur Ada Keluarga Mangsa Terima Permohonan Maaf
Menurut Azhar yang merupakan suami pemandu wanita itu, dia telah bertemu dan memohon maaf kepada mangsa dan ibu bapa pelajar yang terselamat dalam nahas berkenaan iaitu Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada malam Rabu (9 Oktober) lalu, kecoh di media sosial mengenai kemalangan maut yang melibatkan empat orang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu.
Dalam insiden yang berlaku di hadapan kampus tersebut, tiga daripada pelajar berkenaan dilaporkan maut dan seorang lagi cedera parah dilanggar oleh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipercayai dipandu oleh seorang wanita kurang siuman.
Ekoran daripada itu, ramai yang berang dan mempersoal bagaimana pemandu wanita berkenaan boleh memandu dalam keadaan sedemikian lebih lagi tanpa pengawasan keluarga.
Namun, seorang lelaki yang merupakan suami kepada pemandu wanita itu Azhar Ahmad meluahkan rasa sedih serta kesal atas kejadian yang berlaku. Malah, dia juga menyatakan mahu bersemuka dengan keluarga mangsa bagi memohon maaf akibat perbuatan isterinya itu.
Walau bagaimanapun, dia terpaksa menangguhkan hasratnya itu atas nasihat pihak berkuasa.
Baca Artikel Berkaitan: 3 Pelajar UiTM Dungun Maut, 1 Cedera Parah Dirempuh Wanita Dipercayai Kurang Siuman
Syukur Ada Keluarga Mangsa Nahas UiTM Terima Permohonan Maaf
Terbaharu, Azhar meluahkan rasa syukur apabila ada dalam kalangan keluarga mangsa insiden itu memaafkan isterinya.
Jelas Azhar, dia mengakui dirinya diselubungi rasa bersalah namun menzahirkan rasa syukur dan terima kasih buat keluarga yang telah memaafkan perbuatan dan kesalahan isterinya itu.
“Walaupun ujian ini terlalu berat buat mereka, saya bersyukur dan berterima kasih kepada ibu bapa dan keluarga mangsa yang berlapang dada sudi memaafkan isteri saya,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Menurut Azhar, dia telah bertemu dan memohon maaf kepada mangsa dan ibu bapa pelajar yang terselamat dalam nahas berkenaan iaitu Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan.
Memetik Bernama, Muhammad Ammar sudah dibenarkan keluar dari Hospital Dungun semalam (13 Oktober).
Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, mangsa yang cedera akibat rempuhan berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada Rabu lepas akan dibenarkan keluar hospital hari ini. pic.twitter.com/elgLFpi7qh
— BERNAMA TV 🇲🇾 (@BernamaTV) October 13, 2024
Segera Bertemu Keluarga Mangsa Terselamat, UiTM Jadi Pemudah Cara
Tambah Azhar, dia bertemu dengan keluarga Muhammad Ammar dalam satu pertemuan yang diadakan pada Sabtu (12 Oktober) kira-kira jam 9 malam berhampiran penginapan keluarga berkenaan.
Manakala, dia bertemu dengan Muhammad Ammar di Hospital Dungun sebelum dibawa pulang ke Keramat, Kuala Lumpur.
“Semalam (Sabtu), bila saya dapat tahu Muhammad Ammar Danish dapat keluar dari wad hari ini (13 Oktober), saya terus bergegas mencari ahli keluarganya kerana bimbang tidak sempat bertemu mereka.
“Alhamdulillah, saya telah bertemu dengan ibu dan bapa Muhammad Ammar Danish dan mereka menyambut saya dengan sangat baik serta memaafkan apa yang berlaku,” katanya.
Malah, dia juga turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak UiTM kerana menjadi pemudah cara bagi pertemuan berkenaan.
Masih Tunggu Masa Sesuai Bertemu Dengan Tiga Keluarga
Walau bagaimanapun, Azhar menjelaskan dia masih menunggu masa yang sesuai untuk bertemu tiga lagi keluarga mangsa kemalangan tersebut iaitu Ku Adib Aizad Ku Azmi, Khairil Anwar Jamaludin dan Muhammad Akmal Md Tukirin.
“Saya kesal dengan kejadian ini, namun apa yang berlaku bukanlah kehendak saya dan isteri.
“Saya faham kesemua ahli keluarga perlu diberikan ruang untuk bertenang kerana ujian ini sungguh berat.
“Saya akan menunggu masa yang sesuai dan berusaha untuk bertemu mereka,” jelasnya lagi.
Isteri Mula Berubah Akibat Koma Selama 4 Hari
Sebelum ini, Azhar yang juga merupakan seorang kontraktor pendawaian menjelaskan isterinya mula berubah selepas koma selamat empat hari kerana kandungan anak keempat mereka terpaksa dibuang akibat hamil luar rahim.
Jelasnya, wanita yang berusia 49 tahun itu mengalami kemurungan dan sering bercakap seorang diri sejak 10 tahun lalu.
Malah, bapa kepada tiga orang anak dan empat orang cucu itu mendedahkan isterinya sebelum ini pernah memberitahu bercakap dengan seseorang.
Ketika kejadian, wanita itu turut membawa dua pasang kasut dan beberapa helai pakaian.
“Hari kejadian itu, saya telah sorok kunci kereta dan telah menutup pagar dan pintu rumah. Namun, tak tahu bagaimana isteri saya boleh jumpa kunci itu.
“Waktu kejadian, dia (isteri) keluar dari rumah ketika saya dan anak lelaki sedang menunaikan solat Maghrib,” katanya lagi.
Baca Artikel Berkaitan