
SPRM Temui Wang Asing RM5 Juta Selepas Geledah ‘Safehouse’ Milik Ahli Politik Ternama
Difahamkan, susulan daripada rampasan di ‘safehouse’, SPRM telah membekukan kira-kira 15 akaun bank milik beberapa individu dan syarikat termasuk akaun yang dipercayai digunakan untuk menyalurkan rasuah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kelmarin (12 Oktober), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menggeledah sebuah pangsapuri yang didakwa menjadi ‘safehouse’ seorang ahli politik berpengaruh.
Dalam operasi itu, pihak SPPRM dilaporkan menemui sejumlah mata wang Singapura SG$1,529,000 atau kira-kira RM5 juta.
SRPM melakukan operasi terbabit susulan siasatan skandal rasuah jutaan ringgit melibatkan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) berkaitan konsesi perlombongan pasir dilakukan syarikat cabang pelaburan negeri berkenaan.
Wang digunakan untuk tujuan tertentu termasuk politik
Menurut sumber kepada Berita Harian, pangsapuri di Kuala Lumpur itu menjadi tempat penyimpanan wang hasil rasuah milik ahli politik ternama itu yang dipercayai digunakan untuk tujuan tertentu termasuk politik.
“Dalam siasatan terhadap skandal itu, SPRM menahan seorang suspek dan hasil siasatan mendapati terdapat sebuah pangsapuri disewa di ibu negara yang didakwa dijadikan ‘safehouse’.
“Pada jam 10 malam semalam, SPRM melakukan operasi geledah dan menemui wang Singapura bernilai SG$1,529,000 atau kira-kira RM5 juta yang dipercayai disimpan untuk kegunaan ahli politik terbabit bagi aktiviti tertentu,” kata sumber dipetik BH.
Seorang ahli perniagaan sewa pangsapuri itu dan simpan duit berkenaan
Menurut sumber lagi, pangsapuri terbabit juga disewa oleh seorang ahli perniagaan, namun wang yang ditemui itu dipercayai diberikan seorang individu yang belum dikenal pasti identitinya.
Jelasnya, wang terbabit disimpan oleh ahli perniagaan berkenaan dipercayai atas arahan ahli politik berpengaruh itu.
“SPRM menyita semua wang yang ditemui itu,” kata sumber lagi.
Berkongsi lanjut, sumber berkata SPRM sudah membekukan kira-kira 15 akaun bank milik beberapa individu dan syarikat termasuk akaun yang dipercayai digunakan untuk menyalurkan rasuah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16, Akta SRPM 2009
Katanya, SPRM ketika ini juga sedang menyiasat pembabitan ahli politik itu dalam kes berkenaan mengikut Seksyen 16, Akta SPRM 2009.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan seorang bekas eksekutif kanan di MBI adalah antara dua individu yang ditahan SPRM beberapa hari lalu, bagi membantu siasatan kes itu.
Katanya, kedua-dua suspek termasuk seorang ahli perniagaan dikatakan ada kaitan dengan seorang individu berpengaruh di Selangor.