fbpx
Now Reading
Anjing Liar Kelaparan Makan Mayat-mayat Di Jalanan Di Utara Gaza – Ketua Perkhidmatan Kecemasan

Anjing Liar Kelaparan Makan Mayat-mayat Di Jalanan Di Utara Gaza – Ketua Perkhidmatan Kecemasan

Menurut Fares Afana, terdapat juga ribuan kanak-kanak dan wanita hamil yang masih terperangkap di utara Gaza sejak serangan itu dilancarkan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Mayat bergelimpangan di jalanan yang berdebu dan hancur akibat serangan Israel, penduduk pula hidup dalam keadaan kelaparan.

Beginilah situasi yang sedang dihadapi di Jabalya, utara Gaza yang digambarkan sendiri oleh Ketua Perkhidmatan Kecemasan kawasan itu, Fares Afana.

Fares memberi gambaran mengenai keadaan semasa di Jabalya semasa dihubungi CNN pada Isnin lalu (14 Oktober).

“Tentera Israel sedang memusnahkan segala-galanya yang mewakili kehidupan atau tanda-tanda kehidupan,” katanya.

Mayat di jalanan dimakan anjing liar, susah untuk kenal pasti identiti mangsa

Menurutnya, dia dan rakan-rakannya telah menerima mayat rakyat Palestin yang terbunuh di utara Gaza, dengan beberapa mayat menunjukkan tanda-tanda dimakan oleh anjing liar.

“Anjing liar yang kelaparan sedang memakan mayat-mayat ini di jalanan, ia menyukarkan kami untuk mengenal pasti mayat,” katanya lagi.

Fares turut berkongsi foto kepada CNN yang menunjukkan mayat seorang budak lelaki yang dikatakan telah dimakan oleh anjing liar.

Menurutnya lagi, terdapat ribuan kanak-kanak dan wanita hamil yang terperangkap di kawasan terkepung itu sejak ia dibedil rejim Zionis.

50 ribu orang hilang tempat tinggal, 400,000 penduduk sedang kelaparan

Memetik laporan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusian PBB pula, sekurang-kurangnya 50,000 orang telah kehilangan tempat tinggal di Jabalya.

Manakala sekitar 400,000 orang yang masih berada di Gaza Utara sedang dihimpit masalah kelaparan yang dasyat.

PBB mendakwa tentera Israel seakan sedang memaksa penduduk di sana untuk memilih antara kelaparan atau berpindah dari kawasan terbabit.

“Orang awam tidak mempunyai pilihan selain sama ada kelaparan atau meninggalkan kawasan tersebut,” kata Philippe Lazzarini, ketua agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA), dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tentera Israel tembak penduduk kelaparan yang sedang mencari makanan

Berkongsi lanjut, Fares berkata bahawa pada Isnin lalu, tentera Israel telah menembak penduduk kelaparan yang mencari makanan di gudang bantuan yang diuruskan oleh UNRWA.

UNRWA berkata bahawa serangan artileri di pusat pengagihan makanan mereka di Jabalya pada hari Isnin telah membunuh sekurang-kurangnya 10 orang, manakala 40 yang lain cedera.

“Bagi paramedik, sangat berbahaya untuk pergi ke kawasan ini, akibat jalan-jalan yang musnah kerana letupan dan tembakan terus dari tentera Israel ke arah kenderaan kami,” kata Afana.

Ambulans terkena serpihan peluru rejim Zionis

Beliau berkata ambulans telah terkena serpihan peluru dari pengeboman artileri Israel berhampiran Hospital Yemen al-Sa’eed.

“Apa yang berlaku di Gaza Utara adalah benar-benar pembunuhan beramai-ramai, kami juga tidak dapat melakukan tugas kami seperti biasa,” tambah Fares.

Tentera Pertahanan Israel (IDF) memberi alasan kononnya serangan itu hanya mensasarkan pejuang Hamas di kawasan terbabit.

Namun sehingga hari ini yang menjadi mangsa kekejaman mereka itu hanyalah penduduk Palestin.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.