fbpx
Now Reading
Belanjawan 2025: Ini Senarai Pelepasan Cukai Individu Yang Diumumkan PM

Belanjawan 2025: Ini Senarai Pelepasan Cukai Individu Yang Diumumkan PM

Antara pelepasan cukai individu yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 termasuklah pelepasan cukai ke atas perbelanjaan perubatan merangkumi bayaran ujian pengesanan penyakit dan pembelian peralatan pemeriksaan kesihatan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru sebentar tadi, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan 2025.

Bertemakan ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’, Anwar menerusi pembentangan tersebut mengumumkan sebanyak RM421 Bilion meliputi RM335 Bilion bagi belanjan mengurus dan RM86 Bilion bagi belanjan pembangunan tidak termasuk RM2 Bilion untuk perbelanjaan luar jangka.

Ini menjadikan anggaran belanjawan kali ini adalah yang tertinggi diumumkan.

Senarai Pelepasan Cukai Individu Yang Diumum Dalam Belanjawan 2025

Menerusi pembentangan tersebut, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah mengumumkan beberapa inisiatif dan cadangan pelepasan cukai antaranya seperti berikut:

1. Pembelian Pengecas Kenderaan Elektrik

  • Skop pelepasan cukai bagi pembelian pengecas kenderaan elektrik kekal pada RM2,500 namun telah diperluas merangkumi pembelian mesin kompos sisa makanan bagi kegunaan isi rumah hingga tahun taksiran 2027.

2. Insurans Pendidikan & Kesihatan

  • Pelepasan cukai pendapatan individu dinaikkan kepada RM4,000 bagi bayaran premium insurans pendidikan dan insurans perubatan.
  • Pelepasan cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan perubatan sehingga RM10,000 adalah juga meliputi bahagian bayaran perubatan yang dilakukan oleh pembayar cukai di bawah produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan dengan ciri-ciri pembayaran bersama.

3. Pelepasan Cukai Caruman Skim Persaraan Swasta Dilanjutkan

  • Sehingga tahun taksiran 2030, kerajaan bercadang untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 ke atas caruman dalam Skim Persaraan Swasta serta bayaran premium anuiti tertangguh.

4. Pendidikan Anak-Anak

  • Kerajaan bercadang agar pelepasan cukai individu sehingga RM8,000 ke atas simpanan bersih Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dilanjutkan bagi tempoh tiga tahun lagi.
  • Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 ke atas bayaran yuran taska dan tadika dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2027 bagi terus membantu ibu bapa mendapatkan perkhidmatan pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak.
Foto: Malay Mail

5. Kesihatan

Sebagai langkah ke arah amalan penjagaan kesihatan kendiri, kerajaan cadang perluas skop pelepasan cukai individu ke atas perbelanjaan perubatan merangkumi:

  • Bayaran ujian pengesanan penyakit.
  • Pembelian peralatan pemeriksaan kesihatan.
  • Kit ujian pengesanan penyakit.

6. Pemilikan Rumah Pertama

Sebagai menggalakkan pemilikan rumah pertama, kerajaan juga bercadang memberi pelepasan cukai individu sehingga RM7,000 ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan seperti berikut:

  • Pelepasan cukai sehingga RM7,000 bagi rumah kediaman berharga sehingga RM500,000.
  • Pelepasan cukai sehingga RM5,000 bagi rumah kediaman yang berharga lebih RM500,000 hingga RM750,000.

Pelepasan cukai ini boleh dituntut bagi tiga tahun taksiran berturut-turut ke atas perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.

Foto: Malay Mail

7. Perbelanjaan Rawatan & Pemulihan Anak Autisme

Kerajaan turut meningkatkan had pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan dan pemulihan anak autisme kepada RM6,000 berbanding RM4,000.

8. Aktiviti Sukan & Penjagaan Warga Emas

Kerajaan juga bercadang agar pelepasan cukai pendapatan individu yang berkaitan aktiviti sukan dan penjagaan kesihatan disemak semula sebagai memelihara kebajikan dan menjamin penjagaan warga emas.

  • Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 bagi perbelanjaan pemeriksaan perubatan penuh ibu bapa diperluas untuk meliputi kos pemvaksinan.
  • Pelepasan cukai sehingga RM1,000 bagi perbelanjaan peralatan dan aktiviti sukan diperluas kepada ibu bapa.
  • Pelepasan cukai perbelanjaan rawatan perubatan bagi ibu bapa turut merangkumi datuk dan nenek.
  • Pengecualian cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 setahun ke atas elaun penjagaan anak diperluas meliputi penjagaan warga emas iaitu ibu bapa, datuk dan nenek.
  • Potongan cukai tambahan bagi majikan yang membayar elaun penjagaan anak turut diperluas meliputi penjagaan warga emas iaitu ibu bapa, datuk dan nenek.
Foto: Malay Mail

9. Orang Kurang Upaya (OKU)

Kerajaan akan meringankan tanggungan pembayar cukai OKU melalui cadangan seperti berikut:

  • pelepasan cukai tambahan bagi OKU dinaikkan kepada RM7,000
  • pelepasan cukai tambahan buat pasangan OKU dinaikkan menjadi RM6,000
  • pelepasan cukai bagi pembayar cukai yang mempunyai anak OKU yang belum berkahwin dinaikkan menjadi RM8,000.

Dalam pada itu, kerajaan turut mengumumkan pengecualian cukai pendapatan ke atas pendapatan yang terbit daripada sumber luar negara dan telah tertakluk kepada cukai pendapatan di negara sumber serta diterima oleh individu di Malaysia dilanjutkan sehingga 31 Disember 2036 berbanding pada ketika ini diberikan secara bertempoh sehingga 31 Disember 2026,.

Kerajaan juga sedia mempertimbangkan untuk mengecualikan pendapatan dividen daripada simpanan kerajaan seperti KWSP, amanah saham di bawah PNB dan pendapatan dividen dari luar negara.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.