fbpx
Now Reading
Belanjawan 2025: Senarai Peruntukan Di Bawah KPT & KPM

Belanjawan 2025: Senarai Peruntukan Di Bawah KPT & KPM

Bagi Belanjawan Malaysia Madani 2025, sebanyak RM64.1 bilion diperuntukkan untuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) manakala RM18 bilion untuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui hari ini (18 Oktober), Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat pembentangan Belanjawan Malaysia Madani 2025 di Dewan Rakyat.

Selaras dengan tema Belanjawan 2025 iaitu, “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”, pihak kerajaan bertekad serta beriltizam untuk meneruskan agenda reformasi negara.

Menerusi pengumuman tersebut Anwar Ibrahim berkata jumlah keseluruhan bajet yang diluluskan adalah sebanyak RM421 bilion.

Sumber: RTM

KPM Terima Peruntukan Sebanyak RM64.1 Bilion

Anwar yang turut memegang jawatan Menteri Kewangan berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diberi peruntukan sebanyak RM64.1 bilion berbanding RM58.7 bilion pada tahun sebelumnya. Jumlah tersebut juga merupakan peruntukan paling tinggi dalam sejarah.

Peruntukan terbabit adalah untuk memastikan ruang pembelajaran selesa, selamat dan bermakna untuk anak-anak menimba ilmu.

Peruntukan ini merangkumi perkara berikut:

  • RM2 bilion disediakan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara.
  • RM1 bilion khusus untuk menyelenggara semua jenis sekolah terutamanya keadaan bilik darjah yang uzur termasuklah Sekolah Kebangsaan, Sekolah Cina, Sekolah Tamil, Sekolah Agama, sekolah dalam kem tentera dan sekolah pendidikan Khas Orang Kurang Upaya (OKU).
  • RM1 bilion bagi menaik taraf prasaran daif di 543 buah sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak.
  • RM100 juta disediakan untuk Program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Talian Tetap ke sekolah-sekolah luar bandar bagi memastikan capaian internet tersedia.
  • RM800 juta untuk Project Point of Presence (POP).
  • RM100 juta bagi kerja baik pulih kemudahan sekolah seperti kantin dan tempah beribadah.
  • RM5.3 bilion disediakan untuk 17 jenis bantuan pendidikan.
  • RM2 bilion bagi bantuan makanan asrama.
  • RM870 juta diperuntukkan untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang akan memanfaatkan 860,000 murid.
  • RM800 juta untuk Bantuan Awal Persekolahan yang bakal memberi manfaat kepada 5.2 juta murid melibatkan murid tahun 1 sehingga tingkatan 5 tanpa mengira pendapatan ibu bapa.
  • RM180 juta untuk Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.

Selain itu sebanyak 44 sekolah baharu akan mula dibina pada tahun hadapan.


KPT Terima Peruntukan Sebanyak RM18 Bilion

Pada tahun ini peruntukan yang disalurkan buat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meningkat daripada RM16.3 bilion (2024) kepada RM18 bilion.

Di sini kami kongsikan antara perkara yang bakal dimanfaatkan di bawah peruntukan terbabit:

  • RM4 bilion disediakan untuk biasiswa, pinjaman dan elaun pendidikan.
  • 50% biasiswa bakal diperuntukkan untuk keluarga pendapatan rendah.
  • RM500 juta dana pembiayaan pendidikan disediakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk pelajar dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di IPTA.
  • Pembukaan akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) bernilai RM50 secara percuma kepada 100,000 pelajar baharu yang melanjutkan pengajian tinggi.
  • RM635 juta untuk menambah baik prasarana, mengganti peralatan usang dan meluas capaian internet di semua universiti awam.

Subsidi Pendidikan Bakal Dikurangkan Untuk Kumpulan Pendapatan 15% Ke Atas

Ulas beliau lagi, subsidi pendidikan akan dikurangkan secara berperingkat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Institut Pengajian Awam (IPTA) bagi kumpulan pendapatan 15% ke atas (golongan kaya).

Subsidi bagi seorang murid di peringkat SBP mencecah RM15,000 bagi tempoh setahun. Namun berdasarkan angka terkini, kerajaan mendapati 30% daripada golongan murid adalah daripada keluarga berpendapatan tinggi.

“Penyasaran subsidi seumpama ini akan turut melibatkan kesihatan awam. Golongan berpendapatan tinggi wajar menyumbang kepada perkhidmatan kesihatan lebih baik di hospital kerajaan.

“Penjimatan diraih dapat dimanfaat untuk membiayai peranti perubatan untuk pesakit miskin dan menaik taraf perlatan hospital dan klinik awam,” kata Anwar.

Sumber: RTM
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.