fbpx
Now Reading
“Ia Sukar Dilaksanakan” – MyBHA Perak Ulas Gesaan MOTAC Selaraskan Waktu Penginapan Hotel Jadi 23 Jam

“Ia Sukar Dilaksanakan” – MyBHA Perak Ulas Gesaan MOTAC Selaraskan Waktu Penginapan Hotel Jadi 23 Jam

Menurut Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA) Perak, pengusaha hotel berdepan dengan cabaran dalam melaksanakan perkara tersebut.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Isu waktu daftar masuk (check-in) dan keluar (check-out) hotel masih hangat lagi diperkatakan hingga kini.

Ia tular selepas disuarakan oleh pengguna media sosial mengenai waktu penginapan yang agak singkat dan merugikan pengguna.

Susulan daripada isu tersebut, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan pada hujung September lalu menjelaskan pihaknya akan menjalankan pemantauan berhubung isu berkenaan.

Pada masa yang sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing sebelum ini turut memaklumkan MOTAC akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan mencari penyelesaian yang adil serta tidak membebankan pengguna.

Malah semalam (20 Oktober), Tiong menggesa agar semua pengusaha hotel melaraskan waktu check-in dan chek-out bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam.

Jelas beliau, penginapan 23 jam sehari merupakan perkara biasa yang dilakukan oleh kebanyakan hotel di luar negara di mana pelanggan mendaftar masuk pada jam 2 petang dan mendaftar keluar pada keesokan hari atau selewat-lewatnya jam 1 petang.

Penyelarasan itu merupakan perkara biasa dan tidak akan menjejaskan kebersihan atau kualiti penginapan malah pengguna akan merasakan wang yang dibelanja berbaloi dengan perkhidmatan diterima.

Baca Artikel Berkaitan: MOTAC Jalankan Pemantauan Berhubung Isu Check In & Check Out Hotel

Baca Artikel Berkaitan: MOTAC Akan Atur Mesyuarat Khas, Bincang Isu Check In & Check Out Hotel

MyBHA Perak Jelas Ia Sukar Dilaksanakan

Walau bagaimanapun, gesaan Tiong agar pengusaha hotel menyelaraskan waktu penginapan 23 jam kepada pelanggan disifat agak sukar untuk dilaksanakan dedah sesetengah pihak.

Menurut Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA) Perak Zamari Muhyi, pengusaha hotel berdepan dengan cabaran dalam melaksanakan perkara tersebut.

Jelasnya, masalah utama yang dihadapi adalah kekurangan pekerja dalam kalangan warga tempatan.

“Waktu masuk dan keluar pelanggan ini memang sukar diselaraskan kerana polisi dan keadaan fizikal sesebuah hotel berbeza serta jumlah bilik tidak sama.

“Jadi kami memang tidak sehaluan pendapat mengenai cadangan penyelarasan ini,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Perlu Tambahan Tenaga Kerja Perkemasan

Tambah Zamari, cadangan tersebut hanya dapat direalisasikan sekiranya terdapat tambahan pekerja perkemasan (housekeeping).

Walaubagaimanapun, dia menyifatkan itu agak sukar dilaksana ditambah pula dengan keputusan kerajaan yang mengumumkan kenaikan gaji minimum RM1,700 sebulan dalam pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini.

“Jika kerajaan bertegas mahu melaksanakannya, mereka kena bantu pengusaha untuk dapatkan tenaga kerja asing bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pekerja tempatan.

“Selain itu, kenaikan gaji minimum ini akan menambah kos operasi secara keseluruhan pengusaha penginapan berdaftar dan berlesen,” katanya.

Harap MOTAC Bantu Industri Perhotelan Negara

Pada masa yang sama, Zamari mengharap agar kerajaan khususnya MOTAC membantu industri perhotelan negara.

Menurut Zamari, insentif dalam bentuk geran atau bantuan operasi wajar diberikan kepada pengusaha hotel dalam mengurangkan beban mereka.

Baca Artikel Berkaitan: Pemilik Hotel Atau Inap Desa Bebas Tetapkan Waktu ‘Check In’ – Presiden Persatuan Hotel Bajet

Baca Artikel Berkaitan: “Check-In 4 PM, Check-Out Pukul 11 AM”- Ramai Tak Puas Hati Waktu Daftar Masuk & Keluar Segelintir Hotel

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.