Ada Pengusaha Hotel Sifatkan Gesaan MOTAC Selaras Waktu Penginapan 23 Jam ‘Tak Masuk Akal’
Antara yang membangkitkannya adalah Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) yang berpendapat gesaan itu sukar untuk dilaksana lebih lagi pada waktu puncak apabila kesemua bilik habis ditempah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada Ahad (20 Oktober) yang lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menggesa agar pengusaha hotel melaraskan semula waktu daftar masuk (check-in) dan keluar (check-out).
Ia bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam.
Jelas Tiong, penetapan ini merupakan perkara biasa yang dilakukan oleh pengusaha hotel di luar negara di mana pelanggan dibenar check-in jam 2 petang dan check-out pada keesokan hari atau paling lewat pada jam 1 petang.
Tambah beliau lagi, penyelarasan itu tidak akan menjejaskan kebersihan atau kualiti penginapan malah ia akan membuat pengguna berasa wang yang dibelanjakan berbaloi dengan perkhidmatan diterima.
Baca Artikel Berkaitan: MOTAC Akan Atur Mesyuarat Khas, Bincang Isu Check In & Check Out Hotel
Baca Artikel Berkaitan: MOTAC Jalankan Pemantauan Berhubung Isu Check In & Check Out Hotel
Pengusaha Hotel Anggap Gesaan MOTAC Sukar Dilaksanakan
Namun, cadangan oleh Menteri MOTAC itu mendapat pelbagai respon dari pengusaha hotel yang menyifatkan ia sukar dilaksanakan dan tidak masuk akal.
Ini kerana ia dihalang oleh keupayaan operasi hotel termasuk jumlah tenaga kerja yang terhad bagi mengemas bilik dan kadar penginapan.
Menurut Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Shaharuddin M. Saaid, gesaan itu sukar untuk dilaksana lebih lagi pada waktu puncak (peak season) apabila kesemua bilik habis ditempah.
“Kita ingin tahu hotel mana dan di mana dalam dunia ini yang amalkan 23 jam untuk tetamu menginap di bilik. Adakah ia amalan biasa atau kekal atau sebenarnya ‘ad hoc’?
“Hotel di Malaysia ini atas permintaan iaitu jika keadaan membenarkan tetamu mendaftar masuk lebih awal atau daftar keluar lewat dari waktu biasa yang ditetapkan,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.
Proses Kebersihan Selepas Covid-19 Makan Masa
Jelasnya, selepas berlakunya pandemik Covid-19, hotel akan melakukan proses sanitasi dan ia kebiasaannya mengambil masa yang agak lama.
“Jika isu tenaga kerja dapat diselesaikan dan sistem pengemasan bilik lebih efisien, barulah hotel mampu mematuhi saranan MOTAC. Perkara ini senang diperkatakan, tapi realitinya banyak perkara perlu dipertimbangkan,” katanya lagi.
Pengambilan Pekerja Akan Tingkatkan Kos
Tambah Shaharuddin lagi, pertambahan pekerja bagi tugas mengemas bilik akan mengakibatkan kenaikan kos penggajian.
“Tambahan mulai Februari 2025 gaji minimum dinaikkan ke RM1,700. Hotel tiada pilihan terpaksa menaikkan harga bilik bagi tampung kos operasi,” jelasnya.
Ada Yang Anggap Cadangan Tidak Masuk Akal & Mustahil Untuk Dilaksana
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah/Perlis, Eugene Dass menyifatkan cadangan itu tidak masuk akal.
“Satu jam adalah tidak mencukupi untuk memastikan kebersihan dan semua kemudahan bilik dalam keadaan sempurna. Masa daftar masuk kebanyakan hotel kini pada pukul 3 petang dan daftar keluar pada pukul 12 tengah hari dengan menjadikan masa menginap kepada 21 jam.
“Kalau dalam sejam, mustahil dapat pastikan kebersihan dan memeriksa pili-pili air, pendingin hawa dan lain-lain kemudahan bilik berfungsi dengan baik. Perkara ini agak sukar untuk dilaksana terutama semasa menerima daftar masuk bagi kumpulan besar,” katanya.
Mustahil & Mengelirukan – Presiden MAH
Malah, Presiden MAH Datin Christina Toh menyifatkan cadangan MOTAC itu sebagai mustahil dan mengelirukan.
Ini kerana selepas pandemik melanda, pihak hotel perlu memastikan kesemua bilik berada dalam keadaan bersih memandangkan kebersihan merupakan aspek penting yang sering ditekankan.
Tidak hanya itu, Pengerusi MAH Melaka Chapter, Khairulnizam Kasim menjelaskan pengusaha hotel di negeri tersebut berhadapan dengan kesulitan bagi melaksanakan cadangan tersebut disebabkan situasi semasa industri yang pada ketika ini masih dalam fasa pasca Covid-19 dan berdepan dengan pelbagai isu berkaitan pekerja.
“Namun buat masa ini agak sukar untuk kita laksanakan pemintaan kementerian kerana kita tidak dapat menggaji lebih ramai bagi mempercepatkan proses pembersihan bilik,” katanya.
Hotel Berlesen Komited Pastikan Standard Perkhidmatan & Jaga Kualiti Perkhidmatan
Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr. Sri Ganesh Michiel pula berpendapat hotel berlesen di Malaysia komited dalam memastikan standard perkhidmatan tinggi dan memahami kepentingan menjaga kualiti perkhidmatan pelanggan.
“Sebarang kekurangan atau masalah lazimnya timbul dalam kalangan pengusaha tidak berdaftar atau tidak berlesen dengan MOTAC selain tidak menjadi ahli mana-mana persatuan.
“Ketiadaan kawal selia terhadap Penginapan Jangka Masa Pendek (STRA) juga menyebabkan penyedia perkhidmatan ini bebas menjual bilik penginapan tanpa mematuhi standard industri perhotelan.
“STRA tidak terikat dengan undang-undang dan peraturan ketat seperti hotel berlesen, yang melibatkan aspek keselamatan, kebersihan dan kualiti perkhidmatan. Waktu daftar masuk dan keluar juga tidak mengikut amalan kebiasaan,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: “Ia Sukar Dilaksanakan” – MyBHA Perak Ulas Gesaan MOTAC Selaraskan Waktu Penginapan Hotel Jadi 23 Jam
Baca Artikel Berkaitan: Pemilik Hotel Atau Inap Desa Bebas Tetapkan Waktu ‘Check In’ – Presiden Persatuan Hotel Bajet
Baca Artikel Berkaitan: “Check-In 4 PM, Check-Out Pukul 11 AM”- Ramai Tak Puas Hati Waktu Daftar Masuk & Keluar Segelintir Hotel