Gaji RM7,000 Sebulan Dah Tak Layak Dapat Subsidi RON95? Ini Penjelasan Rafizi [Video]
Menurut Rafizi, penentuan golongan T15 yang tidak layak menerima subsidi RON95 itu merujuk kepada taburan yang lebih adil dan bukannya berdasarkan pendapatan kasar sahaja.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada Jumaat lalu (18 Oktober), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Parlimen.
Dalam pembentangan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan bagi tahun hadapan oleh kerajaan adalah sebanyak RM421 bilion berbanding sebelumnya iaitu RM393.8 bilion.
Namun, rancangan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025 antara yang menarik perhatian ramai sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana ia akan dilakukan dan siapakah 15% individu ‘maha kaya’ yang akan dikecualikan daripada menerima subsidi itu.
Pelbagai persoalan tentang penyasaran subsidi RON95, Rafizi tampil beri penjelasan
Susulan itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menerusi satu hantaran di akaun rasmi media sosialnya telah tampil memberi penjelasan.
“Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan penyasaraan semula subsidi RON95 tahun depan. Banyak komen di luar sana dan saya faham ini peluang yang baik untuk membuat kandungan TikTok.
“Pertamanya, saya ajak kita semua menghadam dahulu apa yang diumumkan oleh Anwar,” katanya.
85% rakyat Malaysia akan menikmati RON95 pada harga biasa selepas subsidi
Menurutnya, tidak ada kenaikan harga RON95 kepada golongan yang berada dalam 85% terbawah dari segi kedudukan sosio-ekonomi.
Jelas Rafizi, ini bermakna 85% daripada rakyat Malaysia akan terus membayar RON95 pada harga selepas subsidi seperti biasa.
“Bagi golongan yang berada di dalam 15% teratas (golongan T15) dari segi kedudukan sosio-ekonomi, mereka akan membayar harga pasaran,” katanya lagi.
Golongan T15 tak ditentukan menerusi pendapatan isi rumah semata-mata
Menurutnya lagi, penentuan golongan T15 ini juga bukanlah ditentukan menerusi pendapatan isi rumah semata-mata, malah ia merujuk kepada taburan yang lebih adil dan bukan juga berdasarkan pendapatan kasar sahaja.
“B40, M40, T20 atau T15 hanyalah garis statistik yang bergantung kepada set data. Kalau set data itu merujuk kepada taburan pendapatan isi rumah seluruh Malaysia, maka T15 merujuk kepada isi rumah yang taburan pendapatannya adalah 15% paling tinggi.
“Tetapi kita sedia maklum bahawa kos sara hidup ini tidak boleh diukur berdasarkan pendapatan kasar semata-mata. Banyak faktor lain yang mempengaruhinya, termasuklah saiz isi rumah, lokasi, tanggungan dan sebagainya,” ujar Rafizi.
Penentuan kedudukan sosio-ekonomi yang lebih adil sedang berlaku
Beliau berkata proses untuk memuktamadkan kriteria yang menentukan kedudukan sosio-ekonomi sesebuah keluarga yang lebih adil ini sedang dilakukan.
Ujar Rafizi lagi, pelbagai perbincangan mengenai kaedah yang lebih adil itu telah dibincangkan sebelum ini, malah beliau semasa di parlimen juga telah menyatakan hasrat kerajaan untuk beralih dari pengukuran berdasarkan pendapatan kasar semata-mata.
“Kaedah-kaedah yang dicadangkan dan dipertimbangkan juga telah dibentangkan dan dibincangkan di pelbagai peringkat kerajaan.
“Sekarang, setelah kerajaan telah membuat keputusan untuk melaksanakan penyasaran semula subsidi RON95 dengan garis masa yang jelas, kaedah yang dimuktamadkan itu akan diangkat untuk persetujuan Jemaah Menteri.
“Setelah semuanya telah diharmonikan dan perincian pelaksanaan itu mendapat kelulusan Jemaah Menteri, maka barulah ia boleh diumumkan kepada rakyat.”
Belanjawan ialah penyataan hasrat dan rancangan kerajaan untuk tahun itu
Berkongsi lanjut, Rafizi menjelaskan bahawa belanjawan ialah penyataan hasrat dan rancangan kerajaan untuk tahun itu dan angka-angka yang dimumumkan adalah satu anggaran dan unjuran.
Tegas Ahli Parlimen Pandan itu, kerajaan menyatakan rancangan pendapatan dan perbelanjaan yang melibatkan dasar-dasar dan projek-projek pada anggaran awal untuk mendapat kelulusan Dewan Rakyat.
“Selepas diluluskan, kerajaan kemudian menggunakan kelulusan itu untuk memperincikan projek-projek untuk dilaksanakan, termasuklah membuka tender, melantik kontraktor dan sebagainya,” katanya.
Gaji RM7,000 sebulan dah tak layak dapat subsidi RON95? Kalau belum dimuktamadkan kenapa umum dahulu? Tak buat homework ke?
— Rafizi Ramli (@rafiziramli) October 22, 2024
YAB Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan penyasaran semula subsidi RON95 tahun depan.
Banyak komen di luar sana dan saya faham ini peluang yang baik… pic.twitter.com/bwTTmXEptY
Baca Artikel Berkaitan: