Kedai Emas Tak Beri Layanan Dipercayai Punca Lelaki Provok Bawa Masuk Anjing Dalam Kompleks PKNS [Video]
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, kejadian lelaki membawa masuk anjing ke perkarangan kompleks PKNS itu berlaku pada 11.20 pagi Khamis lalu (17 Oktober).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang lelaki membawa anjing peliharaannya memasuki pekarangan kompleks PKNS, Shah Alam.
Menerusi video tersebut, anjing berkenaan pada awalnya dilihat diikat pada sebatang pokok berhadapan kompleks terbabit.
Pun begitu, secara tiba-tiba lelaki berkenaan berlari ke arah anjingnya untuk membuka ikatan tersebut sebelum cuba membawa haiwan peliharaan itu masuk sehingga mencetuskan kekecohan.
kompleks Pkns Seksyen 14 . pic.twitter.com/58uS6jqlcY
— #UpdateInfo🇲🇾🌍 (@update11111) October 21, 2024
Tak puas hati dengan layanan kedai emas punca bawa masuk anjing
Kejadian terbabit berlaku dipercayai kerana ketidakpuasan hati lelaki berkenaan dengan layanan yang diterima dari sebuah kedai emas dalam kompleks itu.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam semalam (21 Oktober), kejadian tular itu berlaku kira-kira pukul 11.20 pagi pada Khamis lalu (17 Oktober).
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, hasil siasatan mendapati suspek berusia 52 tahun itu telah mengikat seekor anjing peliharaannya di luar bangunan kompleks beli-belah itu.
Nak beli emas 1kg tapi tak dilayan
Menurutnya, suspek kemudiannya pergi ke sebuah kedai emas di dalam kompleks tersebut untuk membeli emas seberat satu kilogram.
“Berang akibat tidak dilayan, suspek telah memarahi pekerja kedai emas dengan mengeluarkan kata-kata kesat sehingga berlaku kekecohan.
“Orang awam berada di kedai emas tersebut telah bertindak membantu mententeramkan suspek dan telah berlaku pergelutan,” katanya.
Menurutnya lagi, pengawal keselamatan Kompleks PKNS telah meleraikan keadaan dan membawa suspek keluar dari bangunan.
Buat provokasi cuba bawa masuk anjing
Kata Mohd. Iqbal, bagaimanapun suspek telah bertindak melakukan provokasi dengan cuba membawa masuk anjing peliharaanya ke dalam bangunan tetapi gagal kerana dihalang oleh pengawal keselamatan bertugas.
“Polis telah menerima tiga laporan pada hari kejadian yang dibuat oleh suspek dan saksi-saksi di tempat kejadian.
“Laporan polis yang dibuat suspek di siasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Manakala, laporan daripada saksi kejadian dijalankan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya lagi.
Berkongsi lanjut, Mohd. Iqbal meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nor Sabryna Mohammad Taha di talian 014-5130450 dan Penolong Penyiasat, Sarjan Rustam Eliah di talian 019-6148034.