
Ibu Tunggal Didenda RM4,000 Gara-Gara Reka Cerita Dipaksa Jadi Pelacur Di Rumah Merah Untuk Bayar Hutang Ayah
Terdahulu, wanita berkenaan mendedahkan dia dipaksa bekerja dengan ah long bagi menyelesaikan hutang bapanya sebanyak RM20,000 ketika sesi live di TikTok.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Masihkah anda ingat luahan seorang wanita ketika sesi siaran langsung (live) sebuah audio siar (podcast) di TikTok yang kononnya dia dipaksa menjadi pelacur di sebuah rumah merah?
Melalui pendedahan yang dibuat menerusi panggilan telefon, wanita berkenaan mendedahkan dia dipaksa bekerja dengan sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ah long bagi menyelesaikan hutang bapanya sebanyak RM20,000.
Dia mendakwa dijadikan sebagai perempuan simpanan atau pelacur sejak Februari lalu tanpa dibayar gaji.
Kisah itu nyata mendapat perhatian ramai yang risau dan mahu bantuan segera diberikan kepada wanita tersebut.
Walau bagaimanapun, polis menerusi satu kenyataan mendedahkan kenyataan wanita itu hanyalah rekaan semata-mata dan dia ditemui berada dalam keadaan selamat di sebuah rumah yang terletak di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.
Baca Artikel Berkaitan: Luahan Wanita Dalam Podcast Konon Dipaksa Jadi Pelacur Kerana Hutang Ayah Hanya Rekaan – PDRM
Ibu Tunggal Mengaku Salah Buat Kenyataan Palsu
Terbaharu, wanita itu yang juga ibu tunggal hari ini (25 Oktober) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Jenayah 1, Georgetown, Pulau Pinang atas pertuduhan mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat umum selepas dia membuat kenyataan palsu ketika sesi siaran langsung di aplikasi TikTok pada Julai lalu.
Tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, Wan Ainsyatul Mime Wan Yuszaidi membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret, Siti Nurul Suhaila Baharin.
Tertuduh Dijatuhi Hukuman Denda RM4,000
Susulan daripada itu, majistret kemudiannya menetapkan denda sebanyak RM4,000 dan penjara selama sembilan bulan jika tertuduh gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Wan Ainsyatul Mime Wan Yuszaidi yang berusia 26 tahun didakwa dengan sengaja telah membuat kenyataan palsu menerusi sesi live podcast Rancangan Heart 2 Heart di TikTok melalui akaun BGTV.
Wanita itu dituduh dengan niat mahu menyebabkan kegentaran kepada orang awam dengan mendorong polis melakukan siasatan bersabit satu kurungan salah yang konon dialaminya.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.
Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut pada 26 Julai lalu kira-kira jam 3.30 petang di sebuah Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat Ampang Jajar, Permatang Pauh, Seberang Perai Utara (SPU).
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali dan tertuduh diwakili oleh Yayasan Biro Guaman Naqieya Zulkernain.
Rayu Mahkamah Beri Denda Minimum
Naqieya dalam rayuannya memohon agar mahkamah mengenakan denda minimum terhadap tertuduh berikutan dia merupakan ibu tunggal dan mempunyai dua orang anak yang masih kecil.
“Tertuduh berusia 26 tahun dan mempunyai dua anak berusia 4 tahun dan 11 bulan selain perlu menanggung ibunya yang sudah tua.
“Tertuduh hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM1,600 sebulan. Tertuduh juga telah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya itu lagi,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Mohon Mahkamah Kenakan Denda Maksimum Sebagai Pengajaran
Manakala, Nurul Atikah pula memohon agar mahkamah mengenakan denda yang tinggi terhadap Wan Ainsyatul Mime Wan Yuszaidi kerana perbuatannya itu boleh menyebabkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Tambah Nurul Atikah, denda yang maksimum boleh memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatannya selain memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak menyalahgunakan media sosial.
“Saya memohon mahkamah mengambil kita kepentingan awam yang mana, tertuduh telah menggunakan media sosial untuk membuat kenyataan yang boleh mendatangkan kegusaran kepada orang ramai.
“Ini kerana, pada zaman sekarang, semua golongan menggunakan media sosial dan boleh melihat hantaran yang dibuat tertuduh,” katanya.
Tindakan Boleh Cetuskan Isu Perkauman
Jelasnya lagi, tindakan tertuduh boleh memberi impak negatif serta menyebabkan berlakunya isu perkauman.
“Kesalahan yang dibuat boleh dan telah menyebabkan kegentaran orang awam selain akan mendatangkan kesan yang serius sekiranya tindakan penyebaran maklumat palsu ini diteruskan.
“Oleh itu, saya pohon satu hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran supaya masyarakat lebih berhati-hati dalam memberikan maklumat yang betul di media sosial.
“Pengajaran itu bukan terhadap tertuduh sahaja malah kepada masyarakat umum agar tidak mencontohi tindakan tertuduh,” tambahnya.
Namun, difahamkan, tertuduh telah membayar denda berkenaan pada hari ini.
Baca Artikel Berkaitan: