Kemas Pandang Serius Isu Kelewatan Peruntukan PBMT Hingga Guru Terpaksa Guna Duit Sendiri
Kemas menegaskan bahawa jabatan itu komited dalam memastikan semua program yang dilaksanakan termasuk Program Bantuan Makanan Tambahan (PBMT) berjalan lancar.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, tular di media sosial dakwaan peruntukan Program Bantuan Makanan Tambahan (PBMT) dari Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor belum diterima sejak bulan Julai yang lalu.
Perkara itu mula mendapat perhatian ramai selepas dikongsikan oleh seorang pempengaruh dan bekas guru, Mohd Fadli Salleh Mohamed Salleh menerusi akaun Facebook miliknya.
Dakwa Mohd Fadli, susulan peruntukan yang belum masuk itu, guru-guru terpaksa mendahulukan duit mereka untuk membeli makanan kanak-kanak di tabika yang terlibat.
Kemas pandang serius, sedang ambil tindakan tangani isu kelewatan peruntukan itu
Cakna dengan isu terbabit, Kemas menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasminya semalam (24 Oktober) menyatakan mereka memandang serius terhadap isu tular berhubung peruntukan PBMT Fasa 2 Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas itu.
Menurut Kemas, pihaknya sedang mengambil tindakan bagi menangani perkara itu dengan teliti termasuk memperkemas proses penyaluran peruntukan agar ia dapat diselesaikan segera.
“Kemas ingin menegaskan bahawa jabatan ini komited dalam memastikan semua program yang dilaksanakan termasuk PBMT berjalan lancar dan menepati objektif memberikan manfaat sewajarnya kepada kumpulan sasar,” kata kenyataan itu.
Menurut Kemas lagi, mereka juga menghargai keprihatinan dan sokongan semua pihak dalam perkara berkenaan.
Guru tabika Kemas minta ibu bapa kanak-kanak buat aduan di SISPAA
Terdahulu, Mohd Fadli dalam hantaran sama turut berkongsi tangkap layar posting yang dipercayai dimuat naik oleh guru-guru tabika daerah berkenaan yang menasihati ibu bapa kanak-kanak berkenaan membuat aduan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) berhubung isu itu.
“Bila dah terdesak, sampai tak tahu nak buat macamana, ada cikgu yang syorkan buat aduan Sispaa ramai-ramai.
“Siapa ada kenalan kat bahagian HQ KEMAS mohon panjangkan isu ini. Naya kat anak-anak tu,” tulis Mohd Fadli.