Umum mengetahui, memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh alkohol merupakan satu kesalahan yang amat serius.
Hal ini kerana ia boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya sehingga boleh membawa maut, lebih menyedihkan apabila insan yang tidak bersalah menjadi mangsa.
Isu sebegini bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia, lebih membimbangkan ia masih lagi berlaku sehingga hari ini.
Tular rakaman dashcam murid dilanggar lelaki mabuk depan sekolah
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial satu rakaman ‘dashcam’ yang memaparkan sebuah kereta yang dipercayai dipandu lelaki mabuk telah melanggar seorang murid yang ingin melintasi jalan raya.
Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di laman Facebook DashCam Malaysia, kelihatan jelas pemandu kereta jenis Perodua Myvi berwarna biru itu tidak berhenti di lampu isyarat merah di kawasan lintasan pejalan kaki berhadapan sekolah berkenaan.
Mangsa dilanggar adalah murid tahun lima SK Port Dickson, patah ibu jari kaki
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 7.10 pagi melibatkan seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Port Dickson, Negeri Sembilan semalam (24 Oktober).
“Kejadian menyebabkan mangsa patah ibu jari kaki kanan serta luka di kaki dan tangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Polis tahan suspek, ujian saringan alkohol dapati bacaan alkohol tinggi
Menurutnya, susulan kejadian tular tersebut, pihak polis telah menahan pemandu berusia 28 tahun itu untuk siasatan lanjut.
Ujian saringan alkohol ke atas suspek menunjukkan bacaan alkohol sebanyak 230mg alkohol/100ml darah (lebihan 153mg alkohol/100ml darah).
“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini (24 Oktober) hingga Ahad (27 Oktober) untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Berkongsi lanjut, Maslan berkata, jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM50,000.