fbpx
Now Reading
Penganjur Mohon Maaf Selepas Tular Video Individu Berarak Bawa Bendera Negara China Di Teluk Intan

Penganjur Mohon Maaf Selepas Tular Video Individu Berarak Bawa Bendera Negara China Di Teluk Intan

Menurut Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia, tindakan mengibarkan bendera negara China di Teluk Intan itu sama sekali tidak dirancang dalam tentatif sedia ada oleh pihak penganjur.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Hari ini (25 Oktober), tular di media sosial sebuah video yang mempamerkan sekumpulan individu dilihat sedang berarak di Menara Condong, Teluk Intan, Perak.

Apa yang menjadi perhatian ramai adalah majoriti individu dalam kumpulan tersebut dilihat memegang dan mengibarkan bendera dari negara China.

Keadaan itu mula menjadi bualan ramai termasuk Pas Negeri Perak yang menggesa agak pihak berkuasa menyiasat insiden yang didakwa berlaku ketika Pesta Tanglung Teluk Intan pada bulan lalu serta turut dihadiri oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Penganjur Mohon Maaf Isu Berarak Sambil Kibar Bendera China

Terbaharu, penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia di stesen Malaysia memohon maaf atas kejadian pengibaran bendera China sewaktu perarakan yang berlangsung malam tadi (24 Oktober).

Menurut Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua, perbuatan itu dilakukan oleh rombongan yang berasal dari negara tersebut dan tidak membabitkan rakyat Malaysia.

Insiden Bukan Perbuatan Dirancang

Jelasnya lagi, tindakan mengibarkan bendera negara asing sama sekali tidak dirancang dalam tentatif sedia ada oleh pihak penganjur.

“Sambutan Guan Gong Sedunia adalah program yang sudah berlangsung beberapa tahun dan dianjurkan dari Johor ke Kedah, dan Perak adalah salah satu stesen yang terbabit.

“Dalam setiap program sambutan ini di pelbagai negeri, pihak pengelola akan mengibarkan bendara Malaysia iaitu Jalur Gemilang sebagai simbol patriotisme. Perarakan dan sambutan di Teluk Intan adalah tidak terkecuali daripada itu.

“Sebagai pihak pengelola, saya sekali lagi memohon maaf atas insiden itu dan akan meneliti segala aspek yang perlu diperbaiki demi menjayakan program,” katanya.

Pengakuan Soon itu sekaligus menepis dakwaan bahawa insiden terbabit berlaku ketika Pesta Tanglung bulan lalu yang didakwa turut dihadiri oleh Nga Kor Ming.

Sebagai pihak yang mengelolakan Sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia, saya ingin memohon maaf atas insiden…

Posted by 马来西亚关公文化推广中心 on Thursday 24 October 2024

Perarakan Tiada Permit Polis

Dalam pada itu, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris mengesahkan perarakan yang diadakan di Dataran Menara Condong, Teluk Intan melibatkan beberapa individu mempamerkan bendera dari negara China diadakan tanpa permit.

Jelas Azizi, perarakan yang berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu berlangsung dari jam 8 malam hingga 11.30 malam semalam serta turut dihadiri kira-kira 400 orang penonton.

“Polis telah memanggil penganjur untuk rakaman keterangan dan mereka juga akan diminta untuk mengemukakan semua peserta warga asing yang dipercayai dari China untuk membantu siasatan,” katanya.

Polis Jalan Siasatan Lanjut

Tambah Azizi, pihaknya menerima aduan mengenai insiden tersebut daripada seorang lelaki tempatan pada jam 12.39 tengah malam tadi.

Siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perarakan tanpa permit polis dan Seksyen 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam.

Pada masa yang sama, Azizi turut menasihatkan orang ramai yang mahu menganjurkan perhimpunan agar membuat permohonan kepada polis dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh perhimpunan.

Malah, orang ramai juga turut dinasihatkan agar tidak terlibat dengan perhimpunan haram yang boleh menimbulkan kacau ganggu dan menggugat kententeraman awam.

Jika individu didapati bersalah, mereka boleh didenda sehingga RM10,000 mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Awam.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.